Bersara? Anda dah Bersedia?
Assalamualaikum & Happy Fridays' Guys!
Ya, aku tiba-tiba berminat pula dengan topik kali ini. Mungkin sebab opis aku baru saja meraikan seorang kakitangan yang bersara. Kira masih fresh lagi la, kan. Tu yang semangat nak story tentang bersara ni.
Korang ada tak tiba-tiba rasa macam tak sabar nak tunggu saat untuk bersara? Sebelum ni memang tak pernah terfikir pun. Tapi semenjak kebelakangan ni, rasa untuk bersara tu macam berkobar-kobar pulak. Kadang sampai dok kira-kira lagi berapa tahun nak hadapi situasi bersara tu. Hahaha. 😄
Sumber : Internet |
Namun...
Dalam saat rasa berkobar-kobar nak bersara tu, hati kecil tetap berbisik. Dah sedia ke nak bersara ni? Persediaan awal dah cukup lengkap? Bila bersara gaji lebih kurang separuh je tau daripada gaji sekarang, boleh ke tampung? Masa tu komitmen masih ada lagi? Macamana tu? Dan bla..bla..bla....
Bila perkataan B.E.R.S.A.R.A tu muncul je dalam kepala aku ni, automatik aku mula merancang pelbagai agenda untuk persediaan menghadapi saat bersara nanti. Aku perlu bersedia daripada pelbagai segi; fizikal, mental, emosi, kewangan etc. Banyak kena fikir sebenarnya.
Dan untuk itu, antara yang aku sedang buat ni adalah merancang kewangan demi masa depan. Korang mesti nak tahu kan, semenjak bila aku mula merancang masa depan? Semenjak aku faham, selain simpanan yang nampak dalam bank, ada banyak lagi simpanan lain yang boleh kita buat. Lagi-lagi aku ambil skim pencen. Jadi, aku perlukan tambahan daripada segi kewangan.
Lagilah dengan aku yang masih lagi solo ni, tak tahu macamana hidup bila dah bersara nanti tanpa keluarga sendiri. Hurmmm... Dan aku perlu fikirkan semua itu sebagai persediaan awal.
Orang ramai cakap duit tak dapat beli kebahagian. Ya, betul. Tapi dalam dunia yang penuh dengan ranjau berduri ini, tanpa duit juga kita sukar peroleh kebahagiaan yang hakiki. Boleh bahagia, tapi kena struggle. Semua kena kuat. Jadi, lebih baik sediakan payung sebelum hujan. Jangan pula dah nak terberak baru nak gali lubang. Masa tu, semua yang kita buat pasti semua serba serbi tidak kena.
Ya, aku ni memang seorang yang suka buat kerja last minute. Sebab itu lebih mencabar. Namun, untuk masa hadapan aku yang satu ini, tiada istilah last minute. Kalau masih ambil konsep last minute juga masa tunggu saat bersara, ibarat aku memperjudikan masa hadapan aku. Aku tak berani ambil risiko itu.
Dan dengan itu, aku buat persiapan awal. Actually mungkin ini baru permulaan, banyak lagi yang perlu aku fikirkan cara untuk merancang masa hadapan daripada segi urusan kewangan terutama apabila bersara nanti. Lagi pula, aku masih ada kudrat untuk lakukan itu semua. Selagi masih ada daya dan upaya, apa salahnya kita merancang ke arah itu, kan? Lagi-lagi setiap perancangan itu membawa kepada kebaikan untuk masa hadapan.
Antara yang aku lakukan dalam urusan kewangan untuk persediaan persaraan nanti adalah melalui :
1. Simpanan secara bulanan.
- Biasanya untuk ini aku bukan setakat membuat simpanan untuk tabung persaraan, malah cara ini juga aku gunakan untuk simpanan tabung 'travel' aku. Untuk aku, Alhamdulillah, aku masih boleh menyimpan mengikut kemampuan aku secara istiqomah. Sememangnya aku telah tetapkan berapa amaun yang perlu disimpan secara bulanan, namun tidak aku nafikan, kadang-kadang amaun itu bertukar ganti mengikut keperluan. Namun, aku akan gantikan semula amaun yang terkurang itu pada bulan berikutnya. Nak simpan secara bulanan ni jiwa memang kena kental dan DISIPLIN. Kalau takde tu semua memang kelautlah jawabnya. Tak perlu banyak pun tak apa, simpan ikut kemampuan je. Yang penting SIMPAN! Elakkan simpan ditempat yang biasa keluar masuk. Maksudnya, simpan di dalam akaun tambahan.
2. Simpanan selain bank.
- Selain bank, aku biasa akan gunakan akaun tabung haji sebagai medium tambahan untuk simpanan aku. Sebelum ni ada juga aku simpan di dalam akaun ASB. Tapi macam leceh pula. Last-last aku simpan dalam akaun Tabung Haji je. Yang ni memang dijamin selamat. Sebabnya aku tak link dengan mana-mana bank. Jadi, kalau aku nak keluarkan duit daripada Tabung Haji, aku perlu pergi ke kaunter dan aku ni seorang yang malas untuk ke kaunter. Yang ni selain manfaat simpanan, dalam masa sama boleh juga untuk simpanan menunaikan haji jika ada rezeki. Jadi, duit InShaa Allah akan selamat di situ. Tak percaya pada Tabung Haji? Pada aku tawakal je. Mohon doa pada Allah, segala harta benda kita dijaga dengan baik. Allah kalau nak uji kita, simpan di mana-mana pun kalau nak lesap akan lesap jugak. Yang penting TAWAKAL!
3. Simpanan melalui insuran takaful.
- Aku memang ada beberapa polisi insuran takaful yang aku jadikan juga sebagai simpanan. Macam yang ni, ada pros & cons. Dikatakan pro bila kita dapat kelebihan 2 in 1. Caruman akan dibahagi kepada 2, iaitu ke akaun insuran & ke akaun simpanan. Jadi jika kita mencarum, kita dapat insurans diri kita sama ada daripada segi insuran nyawa, insuran perubatan atau sebagainya. Dan dalam masa yang sama boleh membuat simpanan dan simpanan boleh dikeluarkan bila telah matang. Dikatakan kontranya, nilai yang kita simpan memanglah tak akan sama dengan apa yang kita dapat nanti. Namapun insuran takaful. Ada yang cakap rugi baik simpan sendiri. Pada aku, pada mereka yang boleh simpan sendiri dalam masa yang sama boleh menyimpan juga untuk kos perubatan, mungkin boleh buat simpanan sendiri. Tapi macam aku, yang hanya mampu simpan beberapa amaun secara konsisten, aku lebih berminat untuk menyimpan dengan menggunakan medium caruman insurans. Dalam masa yang sama kita boleh buat amal. Dengan bantu orang lain yang dalam kesusahan. Kita bantu orang, InShaa Allah, Allah juga akan bantu kita.
4. Membuat kerja tambahan.
- Yang ni, aku baru jinak-jinakkan diri aku. Caranya dengan menjadi seorang penulis. Aku cuba ke arah dunia penulisan. Walaupun baru merangkak-rangkak ke arah itu, namun aku beranikan diri untuk mencuba. Pada aku, menulis adalah sesuatu yang amat aku suka yang aku baru sedari. Sebelum ini tahu diri ini ada minat & bakat ke dunia penulisan, namun tak berani nak mencuba. Dan sekarang, bila telah sedar ianya perlu untuk persediaan masa hadapanku nanti, jadi aku mulakan ia dari sekarang. Sekurang-kurangnya nanti, aku boleh menghasilkan sesuatu yang boleh dimanfaatkan bukan sekadar untuk diriku, malah untuk manusia sejagat lain dengan ilmu penulisan yang aku ada. Sebab itu, aku perlu menulis sesuatu yang boleh memberi manfaat pada diriku dan orang lain. Tidaklah ia hanya penulisan yang kosong tanpa ilmu yang boleh dimanfaatkan. Sebabnya, setiap apa perbuatan kita nanti akan dihisab termasuk apa yang kita tulis, kan?
- Yang ini aku memang cuba usahakan. Aku memang target, hutang-hutang aku seperti rumah, kenderaan akan tamat sebelum aku bersara. Ini adalah penting bagi mengelakkan komitmen yang tinggi yang perlu diperuntukkan untuk keperluan-keperluan itu semasa bersara nanti. Biasanya hutang rumah dan kenderaan inilah merupakan hutang yang paling besar yang perlu ditanggung. Jika berjaya melangsaikan sebelum pencen, itu merupakan satu bonus yang besar. dan aku sentiasa harapkan itu. Dan aku juga lebih selesa hidup dengan cara sederhana. Lebihkan keperluan daripada kehendak. Dan aku harap boleh kekalkan disiplin untuk itu.
Itu antara tips yang aku boleh kongsikan untuk tabung persaraan. Anda ada tips lain? Boleh kongsikan bersama di sini. Mungkin aku terlepas pandang ke kan. Kita sama-sama share ilmu yang ada.
Apa jadi jika umur tidak panjang? Tak sempat nak bersara Allah dah tarik nyawa aku? Tak rasa rugi ke dengan simpanan tu semua yang tak dapat dimanfaatkan masa sekarang? Pada aku tak pernah ada istilah rugi dalam simpanan. Aku awal-awal lagi dah tutup mata aku tentang simpanan tu. Aku tak nak pandang dan kenang. Aku tetapkan hati aku, mana-mana simpanan aku nanti, sekiranya aku tak sempat nak rasainya, itu adalah hadiah buat keluarga aku yang aku tinggalkan. Ayah, emak, adik- beradik. Itu semua untuk mereka manfaatkan sekiranya aku masih belum berumahtangga lagi waktu itu. Aku sayang mereka sangat-sangat. Mereka sentiasa ada di waktu susah dan senang aku selama ini. Dan reward itu layak untuk mereka jika rezeki tidak berpihak pada aku.
Perancangan kewangan ini sememangnya telah tertulis di dalam Quran, seperti yang tertera di dalam terjemahan Surah Yusuf ayat 47 & 48 :
"Yusuf menjawab:
"Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut,
kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya;
kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan." (Surah Yusuf Ayat 47)
"Kemudian akan datang
selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan
menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari
apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)" (Surah Yusuf Ayat 48)
Islam itu indah, kan?
"Dan juga mereka (yang
diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah
melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan
mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan
bakhil) itu." (Surah Al-Furqan Ayat 67)
Untuk aku sendiri, pada aku, aku dah puas dengan apa yang aku ada ni. Aku lebih selesa memilih jalan sederhana. Melihat keluarga aku dan orang yang aku sayang bahagia, gembira, dijaga Allah dengan baik itu dah terlalu cukup pada aku. Mungkin di dunia aku belum cukup beri kesenangan kepada mereka, jadi biarlah aku hadiahkan segala apa simpanan yang aku ada dan buat untuk mereka manfaatkan bila terputus nafasku nanti. Untuk itu, aku perlu buat wasiat atas setiap yang aku ada.
Berbalik pada persaraan rakan sekerja aku, aku sentiasa doakan moga beliau akan dijaga Allah dengan baik dan sentiasa bahagia dengan kehidupan baru ini iaitu dunia selepas persaraan. Doa yang baik-baik untuk rakan aku tu. Orang baik, pasti Allah akan sentiasa jaga dengan baik, kan.
Sempat juga aku kirimkan bingkisan hadiah yang tidak seberapa buat beliau. Apa, ya? Apa lagi, buku-buku karya akulah. Hehehe. Kenalah promote, kan. Pada aku, itu hadiah yang paling boleh memberi manfaat buatnya. Bingkisan ilmu yang aku coretkan dalam bentuk tulisan di buku. Moga mendapat manfaat. 😇
Sayonara En. Om!
#terimakasihsudibaca
Comments
Post a Comment