Cerpen EH : Bila Puru & Pisang Bergabung

Assalamualaikum & petang to all readers...

Hari tu aku pernah update cerpen raya kat sini kan? Korang boleh klik Lemang Jagung Laut Hindi untuk baca cerpen tu. Cumanya aku minta maaf sebab tak dapat nak buat ending untuk cerpen tu. Aku cadang nak tamatkan cerpen tu nanti dalam Kumpulan Cerpen EH. Nanti aku nak kumpul semua hasil cerpen aku (banyak yang aku tak publish lagi) disatukan dalam satu buku. InShaa Allah. Errr... ada ke penerbit yang berkenan nak publish ye? #sistanyaje 😆

Sempena hari Jumaat penghulu segala hari ni, aku nak buat amal jariah sikit. Nak belanja satu lagi karya aku. Kali ni full. Ada ending. Jangan risau, okay!

Sebelum aku tepek cerpen ni dekat sini, aku nak bagitahulah sikit macamana idea untuk tulis cerpen ni wujud. Idea dia mai bila aku rindu sangat kat kawan-kawan lama aku. Actually, cerpen aku kali ni, aku dedicate untuk ex-student Sekolah Menengah Teknik Nibong Tebal (SMTNT) sesi 98/99. Terutama untuk budak-budak dorm aku, Dorm 5 (D5) memang sentiasa mengundang 'dilema' sepanjang aku dok dorm tu. Hangpa memang sempoi! Sayang hangpa ketat-ketat. Sungguh aihhh dak tipu!😍

Cerpen ni sebenarnya hidup dengan caranya yang tersendiri. Kisah benar ni, wei! Cuma aku olah sikit watak-watak bagi hangpa budak-budak D5 teka, ni semua watak siapa. Hangpa baca bagi pengabih dulu, confirm hangpa nak tau apa yang terjadi pada kami budak-budak D5. Nanti bisik-bisik la kat sini nak abadikan jadi novel tak kisah ni? Hehehe....

So guys... Enjoy, ya!




BILA PURU & PISANG BERGABUNG
Oleh : EZZAN HAQIS
             Suasana bilik prep petang itu agak tenang. Dengan bunyi rintik hujan di luar ditambah dengan angin daripada kipas siling yang berputar perlahan begitu mengasyikkan. Biasanya waktu-waktu begini tidak ramai penghuni asrama yang menyambung latihan kerja sekolah apatah lagi mengulangkaji pelajaran. Memandangkan waktu prep yang diperuntukkan selama satu jam setengah telah pun tamat, kebanyakkan penghuni aspuri telah pun berpusu-pusu ke dewan makan untuk menikmati minum petang.
            Aku menggeliat, meregangkan anggota badan. Membetulkan kembali urat-urat yang mula menegang akibat daripada duduk terlalu lama di kerusi kayu itu. Mata memandang sekeliling. Adalah dalam lima enam orang lagi penghuni aspuri yang masih setia duduk berteleku di dalam bilik itu. Dan seorang daripadanya budak dorm aku, Nisa.
            “Oi mak kau kucing! Oii.. terkejut aku tau kucing! Tiba-tiba pulak hang mai menggesel kat aku ni. Isshh.. Memang macam minta kena bantai je hang ni tau!” Nisa  membebel sendirian. Tangannya pantas mencapai pembaris-T di atas meja yang sebelum ini digunakan untuk membuat Lukisan Kejuruteraan. Dikuis-kuis perlahan kucing yang menggesel manja di kakinya. Dengan harapan kucing tersebut menjauhinya. Mungkin.
            Sekilas pandang, gelagatnya itu sedikit mencuit hati. Resam alam, orang yang takut dengan kucing itulah yang makin kucing berani mendekat. Sekadar untuk bermanja-manja. Melihat aksi itu mengingatkan aku pada satu artikel yang pernah kubaca. Entah bila aku kurang pasti. Namun ia cukup melekat kuat dalam kubikel salur-salur yang sarat berselingkar dalam benak ini.
Di dalam artikel tersebut menyentuh hal sifat semulajadi makhluk bernyawa di muka bumi ini di mana setiap daripadanya ada mengeluarkan aroma aura yang tersendiri. Sebab itulah jika seseorang yang sedang marah, selain daripada gerak badan, kita turut terasa tempias bahang kemarahannya. Lagi-lagi jika berhampiran dengan orang yang sedang marah itu.
Macam tu juga orang yang takut kucing, akan membias ketakutan dalam diri. Dari sudut pemikiran sang kucing, orang yang sedang takut itu sudah tentu tidak akan memberi ancaman kepada kucing tersebut. Dan dengan beraninya kucing akan datang mendekat dan mula bermanja-manja untuk menarik perhatian si penakut.  Padahal ia tidak tahu, orang penakut itulah yang akan memberi ancaman yang maha hebat sebenarnya. Lagi-lagi pada diri mereka yang anti kucing!
“Ish.. Pi la sana. Hang jangan dok dekat dengan aku boleh dak kucing? Aku katuk jugak dengan pembaris ni sat gi,” tekan Nisa dan telah mula berdiri pegun. Tangannya masih kedap memegang pembaris-T. Mungkin sebagai pelindung buat dirinya. Daripada raut wajahnya yang tegang memerah, jelas di situ tahap tekanannya mula meningkat.
Aku bangun mampir perlahan ke arah Nisa. Perlahan kucing tersebut kucempung manja. Bimbang pula pembaris plastik tu nanti menjadi habuan si kucing. Orang takut ni, bukan boleh fikir apa yang dibuatnya. Kucing comel itu aku bawa menjauhi Nisa. Sekilas ekor mataku jatuh pada wajah Nisa. Melihat reaksinya kini. Nyata wajah yang tadi tegang memerah sudah beransur tenang kembali. Barangkali terasa diri selamat dari ancaman..
“Hang tak pi dewan makan ka, Nisa?” Aku menegur Nisa setelah yakin kucing tadi berlari keluar menjauhi ruangan ini.
“Sat gi. Aku tunggu hat lain. Nak tau depa makan apa kat dewan makan nuuu... Setakat makan roti kering... Ah, tak mau aku! Roti merie aku ada lagi setin dok terperuk dalam locker. Lagi sedap.”
Aku hanya tersenyum dengan omelan Nisa. Dia ni kalau bab mengomel memang nombor satu. Siap beraksi dengan memek muka lagi. Kalau tak berkerut memang tak sah.
Istilah roti kering iaitu biskut tawar memang telah sinonim dengan aku. Setelah setahun lebih belajar di sini, aku mula mengenal sedikit demi sedikit loghat utara. Mana tidaknya, hampir sembilan puluh peratus pelajar di sini berasal dari Utara. Kebanyakannya dari Pulau Pinang dan Kedah.
Bukan sekadar aku sahaja. Pelajar dari Kelantan pun boleh berubah slanga Utara bila belajar di sini. Dapat bayangkan tak bagaimana orang Kelantan bertutur slanga Utara? Boleh tergelak bila dengar. Tak terniat pun sebenarnya nak gelakkan mereka, sedangkan aku sendiri pun berbelit lidah nak biasakan bercakap walaupun masih pekat lagi slanga KL nya. Tapi itu hakikat. Automatik suis gelak aku akan berfungsi bila dengar orang Kelantan bercakap dalam loghat Utara. Terlalu unik dan comel!
“Hang dok senyum-senyum apa, Izzah? Hang pulak? Diet?” Nisa mula menyoal aku kembali. Mati senyuman aku seketika.
“Hmmm... Biasalah. Kenyang lagi. Nasi Ayam tengahari tadi pun aku rasa belum sempat hadam dalam perut aku lagi ni.”
Kami memang paling suka hari Jumaat. Menu di dewan makan agak istimewa sedikit berbanding hari lain. Kalau hari-hari biasa dihidang dengan nasi putih dan lauk ikan jaket - istilah budak hostel untuk ikan cencaru ataupun ikan kayu merujuk kepada ikan tongkol, memang tidak pernah tinggal. Tekak aku pun dah rasa macam tertelan jaket dan kayu gamaknya.
Biasanya pada hari Jumaat, aroma nasi ayam atau sesekali ditukar dengan nasi tomato pasti akan memenuhi ruang dewan makan. Pada pelajar asrama seperti kami, menu itu terlalu istiwewa dan sememangnya ditunggu-tunggu. Dan paling penting, siap disajikan bersama pencuci mulut lagi. Aiskrim!
Riuh rendah suara beberapa pelajar aspuri dapat di dengar dari koridor luar hingga ke bilik prep. Pastinya mereka yang baru balik dari minum petang. Dari jauh lagi dah nampak kelibat Farah, seorang lagi rakan satu dorm aku, berlenggang menuju ke arah kami.
“Makan apa kat dewan hari ni, Farah?” Laju Nisa menegur Farah. Tak sempat kawan tu nak tarik nafas, tangannya dah ditarik Nisa dahulu.
Farah hanya menunjukkan simbol ibu jari di hala ke bawah. Tanda menu tidak menarik petang ini.
“Roti kering dengan ayaq teh.”
“Hurm... itu ja? Agak dah...” Sahut Nisa. Tak tinggal cebiknya tu.
Aku sekadar senyum kecil. Huh, memilih!
“Wei! Hangpa tau kan esok hari jadi Shazlin?” Tiba-tiba Farah menyoal.
“Huh?” Hanya perkataan itu yang terpacul dari bibir aku dan Nisa. Serentak.
“Aku ada pelan baik punya. Hangpa nak join dak?” Sambung Farah. Keningnya diangkat-angkat sambil memberikan senyuman yang cukup misteri!
Aku dan Nisa berpandangan antara satu sama lain. Hujan-hujan macam ni, terasa lambat benar sel-sel otak berhubung. Niat asalku hendak terus naik terbantut. Kata-kata Farah dengan mimik muka yang agak misteri itu membuat aku terlupa akan tilam dan bantal yang memanggil-manggil semenjak waktu prep bermula lagi tadi. Ah, abaikan semuanya. Pada aku, rancangan Farah ini lebih menarik minatku. Biarpun masih samar-samar lagi.
“Apa?” Aku dan Nisa bertanya serentak.
“Jom ikut aku,” Farah melangkah penuh semangat ke arah ruangan wuduk.
Aku dan Nisa membontotinya walaupun hati masih kuat tertanya-tanya. Apa yang nak dibuat di ruang wuduk ni? Sempat aku mengintai jam dinding di surau sebelah. Baru enam setengah petang. Nak kata dah masuk waktu Maghrib, sememangnya lambat lagi. Pelik.
“Tu... nampak tak?” Farah memuncungkan mulutnya. Menunjuk ke satu arah di hujung lantai pada paip terakhir di ruangan wuduk. Serentak mata kami memandang arah yang dimaksudkan Farah. Katak!
Aku terdiam. Nisa kulihat mula pucat seakan kurang darah. Memang aku telah sedia tahu kelemahan minah yang satu ni. Selain kucing, katak adalah haiwan kedua yang Nisa paling fobia.
“Kenapa dengan katak tu?” Otakku masih belum dalam mencerna apa yang akan dirancang Farah. Sesekali mataku mengerling ke arah Nisa nyata terlihat kaku tidak berkutik. Jelas terpancar rona tidak selesa pada wajahnya. Jangan minah ni pitam, sudah.
 Pertanyaanku tadi bagaikan hilang disapa angin lalu. Sedikitpun tidak dijawab Farah. Seolah-olah lebih selesa membiarkan teka-teki itu berlegar-legar di kepala aku dan Nisa. Sebaliknya, dia mengeluarkan plastik dari poket seluar track yang dipakainya. Plastik digoyang-goyangkan betul-betul depan mata kami. Makin kerut raut wajahku, makin giat sengihnya ditayang. Geram betul!
“Jom kita mulakan...” Farah laju melangkah ke arah katak puru berkenaan.
“Jap... Hang nak tangkap katak tu ke?” Aku mula menarik lengan Farah. Menahannya daripada meneruskan langkah. Perbuatan aku itu membuatkan langkahnya terhenti.
“Haaa laaa... Aku geram ja tengok katak tu. Dah seminggu aku dok perhati katak tu kat situ. Dari kemarin lagi aku dok usyar. Geram sangat, aih. Macam depa dok panggil-panggil ja aku suruh pi tangkap depa,” selamba saja Farah menjawab sambil sengih menayang gigi.
Apa? Macam tu je? Biar betul minah ni. Ish... Mataku masih tidak lepas memandang makhluk menggerutu berkulit lembap yang duduk melekap di lantai ruangan wuduk. Bimbang sungguh makhluk tu bergerak walau seinci. Waktu-waktu sebegini, sel-sel otakku telah mula menjalankan kerja-kerja yang sepatutnya dengan jayanya. Seribu satu alasan mula muncul dalam benakku. Syabas, Izzah!
“Hang takut ka? Geli?” sindir Farah padaku. Memek muka dia tu, bukan main lagi memperlekehkan aku. Sakit hati betul!
“Mana ada!” Cepat-cepat aku pintas.
Mana boleh aku mengaku yang aku ni pun seorang penakut pada makhluk bernama katak! Aku orang bandar, beb. Mau kena bahan sampai hujung tahun. Selama ni, selalu aku diperlekehkan hanya kerana aku gadis yang dilahirkan di kota metropolitan. Katanya orang bandar ni manja terlebih. Aku tak boleh terima semua tu. Sebabnya semenjak kecil lagi aku dah biasa berdikari.
“Aku naik atas pi ambil kotak sat. Senang nak boh katak tu nanti,” sambungku. Aku cuba untuk mengelat dengan cara yang cukup halus. Harap Farah tak perasan sangat alasan aku yang cukup cliche tu. Apalagi, dengan kuasa kuda, laju kaki memecut memanjat satu persatu anak tangga ke bilik aku di tingkat dua.
Gila aku tak geli? Katak, kut. Aku tak takut. Cuma geli aja. Dan aku tahu aku tidak keseorangan ketika itu. Dapat kurasa Nisa turut sama memecut turut menemaniku di belakang.
Mencari kotak bukanlah sesuatu yang sukar. Dengan mudah, kotak kasut yang kosong kini berada di tangan. Lantas melangkah turun semula ke ruangan Nisa yang setia menunggu bersama dengan si puru.  And guess what? OMG!
Berkali-kali mata kukerdip tatkala Farah menyeringai sambil menayang-nayang plastik yang berisi sesuatu di dalamnya. Gila hebat minah ni. Ilmu apa yang dia pakai tangkap katak ni? Sekejapan aku tinggalkan dia, makhluk lembap lembik tu dah berjaya menjadi mangsanya. Aku? Terlongo sekejap.
Cepat-cepat kuunjukkan kotak tadi pada Farah. Bimbang sungguh hati ni tatkala melihat si Puru mula mengelepar kelemasan dalam plastik tu. Ni silap haribulan kalau melompat keluar katak tu nanti, dengan aku ikut melompat sekali nampaknya ni. Hanya itu yang kini bermain dalam fikiran.
Nisa masih lagi setia untuk mendiamkan diri. Meskipun dalam keadaan takut-takut, dia masih setia mengikut ke mana saja kami pergi.  Huh! Tak ubah macam robot kawalan jauh dah aku tengok.
Sementara menunggu malam hari, kotak itu kami simpan dengan cermatnya di bawah katil Farah. Sesekali terdetik rasa risau di hati saat memikirkan nasib Si Puru. Aku harap tidak kelemasan di dalam kotak tu. Kalau jadi arwah terasa macam turut bersubahat menjadi pembunuh. Pembunuh katak! Apakah?
Pengudaraan yang cukup baik cuba dibuat buat Si Puru. Hujan lebat yang turun bersulam dengan jeritan katak di luar menenggelamkan bunyi Si Puru yang sekali sekala turut sama menyanyi syahdu di dalam kotak. I feel you, Si Puru. Omel ku dalam hati namun semangat untuk mengenakan Shazlin lebih tinggi mengatasi rasa kasihanku pada nasib Si Puru. Nampak agak kejam di situ, kan. Maafkan aku Si Puru.
*******
Prep malam. Itu rutin harian kami sebagai pelajar asrama. Bermula jam lapan malam sehingga sepuluh malam, pelajar aspuri dan aspura akan memenuhi ruang dewan makan. Itulah lokasi prep kami setiap malam. Meskipun begitu, ruangan kami masih lagi terasing. Tiada langsung peluang untuk pelajar lelaki dan perempuan duduk bercampur. Warden bertugas sangat menjaga tertib yang satu itu.
Aku lebih banyak mendiamkan diri sepanjang waktu itu. Gila! Rancangan malam ini benar-benar gila dan cukup mengganggu fikiranku. Banyak masa aku habis dengan begitu sahaja memikirkan pelan gila Farah!
Sesekali mata tertancap pada Farah, Nisa dan dia. Shazlin! Farah seperti biasa dengan muka selenganya. Sesekali dia bergurau senda dengan Shazlin. Macam tak ada apa-apa yang berlaku. Nisa? Minah ni kulihat duduk tekun memandang buku. Aku yakin sangat. Perkara yang sama turut menghantui fikirannya.
Ada ketika mata kami bertentangan. Cepat-cepat Nisa menundukkan kembali wajahnya. Memang aku akui, Nisa ni sejenis yang cepat menggelabah. Takut kantoilah tu. Shazlin seperti biasa, terlihat sangat ceria. Birthday Girl, kut. Mestilah hati bahagia sepanjang hari.
Dan dua jam masa prep malam itu hanya berlalu dengan sia-sia. Kosong. Satu benda pun aku tak boleh beri tumpuan malam ni. Kiri kanan seakan ada makhluk yang berbisik mengingatkan aku tentang rancangan malam ni. Dan paling tragis sekali saat sesekali aku seakan terdengar gemersik si puru seakan memanggil-manggilku. Gila!
Balik sahaja daripada prep malam, Shazlin kuperhatikan sangat berseri-seri wajahnya. Lagi-lagi bila aku dimaklum yang dia menerima sesuatu daripada penghuni aspura. Orang manis macam dia, memang butalah lelaki kalau tak ada yang meminatinya. Peramah. Siap ada lesung pipit yang memberi seri pada kedua belah pipinya.
“Untung laaa... Siapa bagi tu, Lin?” Nisa menyoal Shazlin. Agak teruja gayanya. Shazlin hanya mengangkat kedua bahunya tanda tidak tahu. Kotak bertukar tangan ke tangan Nisa dan digoncang-goncangkan kotak tersebut.
“Oitt! Ganas la hang ni, Nisa. Janganlah goncang-goncang lagu tu. Rosak nanti barang dalam tu.” Jerkah Shazlin dan mula merampas kembali kotak berkenaan daripada tangan Nisa.
“Kedekut!” Rajuk Nisa. Mencebik menayang muka tidak berpuas hati.
Shazlin hanya tersenyum. Mungkin dia tahu Nisa sekadar berseloroh berpura-pura merajuk.
Aku gigih menjadi pemerhati yang setia. Sesekali mata nakalku kuintai-intai kotak Si Puru di bawah katil Farah. Farah kulihat hanya tersengih sambil memberi signal mata padaku. Ye.. hanya aku, dia dan Nisa saja yang faham isyarat yang diberi Farah.
“Wei hangpa... Mai la kita tengok sama-sama apa yang budak-budak aspura ni bagi.” Pelawa Shazlin pada kami. Terserlah riak gembira pada wajahnya. Aku mula rasa tak sampai hati pula nak kenakan Shazlin malam ni bila melihat air mukanya tika itu. Namun bisikan-bisikan halus disebalik nurani lebih mempengaruhiku untuk tetap meneruskan niat kami bertiga. Ah! Persetankan semuanya. Cuma malam ni saja. Pujuk hatiku.
“Sat.. sat.. tunggu sat, Lin! Hang jangan ingat budak-budak aspura ja yang ingat birthday hang. Kami ni tak pernah lupa, tau. Kami nak habaq ni. Kami pun ada hadiah ‘special’ untuk hang. Nah!” Perkataan ‘special’ seolah-olah sengaja ditekankan. Farah lantas mengunjukkan kotak kasut yang telah dibalut kemas dengan kertas minyak tu pada Shazlin.
“Ya Allah.... terharunya aku. Aku ingatkan hangpa dah lupa hari istimewa aku hari ni. Mai aku nak peluk hangpa.” Ujar Shazlin. Seketika kami berpelukan. Tenggelam dengan emosi yang penuh dramatik. Dan aku perhatikan setitis air mata menitik dari tubir mata Shazlin. Mungkin gembira dengan ingatan dari BFF nya. Dia tak tahu yang BFF ini lah yang Maha Dahsyat dari Syaitonnirrojim....!
“Aku rasa la ni aku lebih teruja nak buka hadiah dari hangpa. Ermm.. Nisa.. tadi hang kalut nak buka hadiah dari pelajar aspura, kan. La ni, aku nak hang buka kotak dari aspura. Aku buka kotak hat ni dari hangpa bertiga. Tu dia... Mesti ‘special’ ni. Besaq sungguh la kotak... Hat lain tolong-tolong sama, ya.” Saran Shazlin pada kami bertiga. Teruja betul aku tengok.
Aku tahu dalam masa yang sama Shazlin turut sama ingin memujuk Nisa. Dan secara automatik aku, Farah dan Nisa sama-sama membuka kotak daripada aspura. Nak buka kotak hadiah daripada kami? Memang taklah. Hati aku mula ketawa jahat. Dan aku yakin otak Farah dan Nisa juga menjana perkara yang sama seperti aku.
Shazlin kulihat hanya menghadiahkan segaris senyuman pada kami tatkala kami bertiga serentak mencapai kotak dari pelajar aspura. Mungkin dia tidak mengesyaki sebarang kemusykilan daripada tindakan kami itu. Awak sangat polos Shazlin. Gumam hatiku. Ada satu peratus rasa bersalah terselit di celah-celah hatiku. Apalah sangat nilai satu peratus tu, kan.
Kotak-kotak hadiah tersebut dibuka dengan cermat sekali. Lagi-lagi kotak hadiah daripada aspura. Cantik tu. Siap dibalut kemas dengan pembalut bercorak bunga ros merah lagi tu. Kotak hadiah kami yang hanya dibalut dengan kertas minyak juga dibuka Shazlin dengan cukup cermat. Aduuuhh.. Bertambah naik lagi peratusan rasa bersalah tu dalam hati ini.
Dan tiba-tiba.....
“Arrrggghhhhhhh!!!!!!!” Jeritan lantang daripada kami berempat memenuhi malam yang sepi. Tidak cukup dengan itu, masing-masing mencampak bungkusan-bungkusan hadiah tu. Dan paling aku tak sangka, orang yang paling kuat menjerit adalah Farah! Si berani yang menangkap Si Puru siang tadi.
Aku? Memang dah sedia mencicit berlari mencari tempat yang paling tinggi. Mana lagi kalau tak atas katil. Memang taubat la nak cecah kaki ke lantai. Beberapa penghuni lain yang tadinya sibuk membuat hal masing-masing telah mula bergegas ke arah kami. Dan salah seorang daripada mereka mencapai kotak tersebut tidak semena-mena turut menjerit.
“Kataaaaaaakkkkkkkkkk!!!!” Hanya dengan satu perkataan itu berjaya menghuru-harakan bangunan aspuri. Dalam keadaan kelam kabut itu, sempat mata aku menangkap satu objek di lantai. Makhluk berkulit lembap dan licin berwarna hijau pucuk pisang melompat keluar dari kotak bagaikan pesta. Mana tidaknya. Bukan satu, bukan dua dan bukan tiga. Malah lebih daripada itu. Si Katak Pisang melompat keluar melepaskan diri masing-masing. Mencari udara barangkali setelah lama terperap dalam kotak.
Dan serentak dengan itu telinga kami dapat menangkap bunyi siren dari pembesar suara bingit menjerit dari bawah. Sah! Warden aspuri dah naik minyak! Sempat juga aku menangkap bunyi latar belakang suara-suara nakal dari blok aspura.
“Onggg... Onggg.. Onnnggggg kedek kedek....!”
Pasrah. Itu sahaja yang mampu aku buat tika itu. Semakin kurasakan jantung ini bekerja dengan cukup kuat saat telinga ini menagkap nyaringan kuat bunyi siren ‘row call’ memecah kesunyian malam. Entah bagaimana agaknya rupa bentuk hukuman yang akan kami terima. Bunyi-bunyian suara sumbang daripada katak berkepala hitam dari blok aspura semakin rancak kedengaran. Tak guna betul! Angkara siapalah agaknya ni. Hatiku menyumpah. Dan aku yakin perkara yang sama bermain di benak Farah, Nisa dan Syazlin.
Bila Si Puru dan Si Pisang bergabung...... Aku yang meletup!
TAMAT

Hak Cipta Terpelihara
Tidak dibenarkan mana-mana bahagian daripada penulisan ini ditulis semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan kepada bentuk lain, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman, atau lain-lain tanpa kebenaran bertulis daripada penulis terlebih dahulu. Penulis berhak atas setiap tulisan dan karyanya.

#terimakasihsudibaca

Comments

Popular posts from this blog

Kembang Semangkuk Petua Orang Lama

KL Sentral > Padang Besar ... Bestnya Naik ETS!

Resepi : Cucur Badak Lembut dan Sedap