Review Buku - SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG

Assalamualaikum & Salam Hujung minggu,

Setelah lebih kurang dua bulan aku meninggalkan dunia bacaan, kali ni aku dah kembali ke pangkal jalan akhirnya. Yeayyy! Berjaya juga aku habiskan bahan bacaan aku kali ini. Genre sastera. Itu yang jadi pilihan aku kali ni. Perghhhh.... dah la lama tak baca buku, tut tut terus melompat ke genre sastera. Boleh ke habiskan tu?

Dah tentu boleh kalau buku yang aku baca ni buku yang hot & spicy item. Wow! Buku apa tu? Seorang Tua Di Kaki Gunung. Familiar, kan tajuk tu? Dah tentulah. Buku yang banyak kali diulang cetak. Ingat mudah ke buku bergenre sastera diulang cetak unless buku tu benar-benar bagus!

Actually buku ni buku lama sangat. Cetakan Pertama tahun 1982. Aku time tu baru nak tengok dunia, babe! Lama betul. Tapi aku kagum, sampai sekarang buku tu masih dicari orang ramai.

Sebab apa? Bahasanya. Penulis ini menzahirkan tulisnya dengan tulus. Seakan-akan memberi jiwa pada setiap patah berkataan yang ada. Belum lagi ayat-ayat yang tercetak diselitkan dengan mainan emosi. Buatkan hati sentiasa hendak meneruskan bacaan hingga ke perkataan TAMAT.

Aku bukannya budak sastera yang kuat untuk menjulang ayat-ayat sastera yang berat. Tapi, aku senang dengan bilah-bilah ayat yang digunakan. Meskipun ulangan ayat yang dibuat tidak langsung menampakkan kecacatan di situ. Pada aku sangat sesuai dengan jalan cerita yang hendak disampaikan.

Membaca novel ini buatkan aku seakan meresap masuk ke dalam ruang hidup Tukya & isterinya Besah. Nyanyian rimba menjadi lagu yang cukup mendamaikan halwa telinga. Lambaian hijau pepohon yang tegak berdiri bagaikan terapi jiwa buat mereka. Hembusan bayu Gunung Bongsu memberi rasa dingin yang menyenangkan tatkala berhembus menyapu wajah. Ya Allah. Aku dapat rasa suasana seperti itu dan aku amat rindukan untuk merasai akan itu.

Melalui buku ini tidak hanya bahasa sastera yang ditekankan, malah turut memberi aku ilmu-ilmu baru. Ilmu hutan. Bahasa rimba. Jenis-jenis pokok hutan yang tumbuh. Dari yang melata di bumi hingga yang berdiri tegak menongkah awan. Bukan setakat itu sahaja, malah dipecahkan pula lagi kepada beberapa jenis sebagai contoh damar, buluh, rotan dan macam-macam lagi.

Tidak sekadar pokok malah jua mergastua, unggas, haiwan daripada sebesar-besar gajah hingga sekecil-kecil kongkiak. Hahaha. 1st time aku tau kongkiak tu semut hitam yang berkepala besar, kalau kena gigitannya, pasti merana.

Ada juga diajar satu persatu cara-cara menawan pelanduk. Pelanduk menari? Bunyi macam pelik,kan? Tak ada yang pelik dalam buku ni. Diberitahu satu persatu cara memikat si pelanduk. Binatang yang dikatakan cerdik. Belum lagi cara mengambil misan lebah atau madu lebah.

Paling menarik diajar juga petua-petua untuk menegakkan rumah. Ah! Banyak rupanya pantang larang orang dulu-dulu walaupun hanya sekadar untuk mendirikan sebuah rumah. Bulan bila boleh dirikan rumah, bulan bila pula dilarang sama sekali. Hari apa boleh tebang pokok, hari apa pula perlu dielak untuk dijauhkan sebarang musibah. Menarik untuk dipelajari. Patutlah rumah dulu-dulu kukuh berdiri tegak meskipun tanpa sebarang paku yang terpacak. Ada kemungkinan juga berpandukan petua-petua tradisi ini. Mungkin juga.

Aku tertarik dengan watak Tukya yang sentiasa bersemangat waja. Usia 70-an bukanlah sesuatu yang menjadi penghalang untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Aku juga suka dengan watak isterinya Besah yang digambarkan. Taat. Itu yang banyak kali diulang cerita di dalam naskah ini. Bagaimana taatnya seorang isteri pada suaminya meskipun ada ketika perangai suami yang bertentangan dengan pandangan si isteri.

Dalam masa yang sama aku dapat rasakan yang Tukya juga punya ego tersendiri. Ego seorang lelaki tua. Tapi... itu pada aku biasa. Sebab orang yang dah berumur memang kebanyakkannya sebegitu. Rasa dirinya mampu sedangkan tenaga tuanya membataskan segalanya. Alahai... tetiba rasa sedih pulak.

Aku kadang geram dengan perangai anak menantu dan cucunya Farid yang kadang rasa macam melebihi batas. Tapi... mungkin Fikri anak Tukya ada sebab-sebab tersendiri. Ego seorang anak. Terselit juga dalam diri Fikri.

Yang paling penting, aku mula google tempat yang bernama Gunung Bongsu ni. Seriuslah. Aku rasa teringin nak sampai ke sini. Nak rasa sendiri bagaimana dinginnya puput angin gunung yang menerjah ke muka saat fajar menjelma waktu daun tingkat dibuka. Fuuh! Aku macam dah terasa-rasa kat muka ni. Feel sangat seh...

Apa-apapun buku ni punya banyak nilai-nilai yang boleh diangkat. Yang baik dijadikan tauladan & yang buruk dijadikan sempadan.

Aku nak pesan, pada mereka yang belum baca lagi buku ni, sediakan apa-apa yang patut. Lagi-lagi pada mereka yang punya hati tisu macam aku. Cuit sikit dengan ayat-ayat penuh emosi dah meleleh-leleh air mata. Alahaiiiii.... 

Anyway, selamat membaca & tahniah juga pada penulis yang bukan sebarang-sebarang orang ni. Naskah Seorang Tua Di Kaki Gunung ni akan jadi satu buku rujukan ilmu untuk aku terutama ilmu melibatkan rimba.

INFO BUKU





Tajuk :  Seorang Tua Di Kaki Gunung



Penulis : Azizi Haji Abdullah



Terbitan : Dewan Bahasa & Pustaka



Halaman : 199 m/s



Harga : RM 20.00



SINOPSIS BUKU

Kisah kehidupan kampung seorang ayah yang agak tua (Tukya) bersama isterinya Besah yang sentiasa taat. Mereka menghabiskan sisa-sisa hidup dengan tinggal di rumah usang di kaki bukit Gunung Bongsu, Kedah Darul Aman.

Punya anak lelaki tunggal yang sudahpun berkeluarga yang tinggal di Kuala Lumpur dan sesekali datang bersama cucu kesayangan Lamin. Lamin punya abang iaitu Farid yang karektor cukup berbeza yang tidak suka untuk tinggal berlama-lama di rumah Tukya. Tidak seperti Farid, Lamin seronok sangat bila dapat bersama atuk dan neneknya. 

Tukya begitu bangga menjadi penghuni rumah tuanya. Jika boleh, hendak dikhabarkan pada semua yang rumah di kaki bukit yang berhutan dedaun hijau itu lebih bagus daripada hutan batu yang didiami anaknya Fikri. Segala ilmu hutan hendak diturunkan pada cucunya, Lamin. Memandangkan hanya Lamin sahaja yang menunjukkan minat yang sama dengannya. Datang sahaja Lamin bercuti di rumah Tukya, akan dibawa Lamin menjelajah segenap rimba, denai dan huma. Diajar ilmu-ilmu rimba. 

Suatu hari, insiden diserang kawanan lebah telah mengubah segalanya. Tukya merasakan dia seperti dimalukan semua. Hanya kerana tidak dapat melawan lebah yang mengganas, teman, anak, menantu serta cucunya seakan memperlekehkan tenaga tuanya. Bukan setakat tenaga tua, malah rumah yang didiami juga dikatakan bila-bila masa boleh rebah. Buruk. Usang. 

Dan atas sebab itu, dia nekad akan persembahkan sesuatu pada mereka yang memperlekehkan tenaga tuanya. Tukya ingin buktikan yang dia juga mampu untuk menumbangkan balak sebesar dua pemeluknya jika itu mampu membuatkan anak menantu serta cucunya bangga akan kemampuannya membina rumah lebih teguh daripada rumah mereka di kota.

Dapatkah tenaga tua itu merealisasikan impiannya? Dapatkan buku Seorang Tua Di Kaki Gunung cepat-cepat di luar sana. Serius, berbaloi sangat!



RATING BY ME :      4.5/5 STAR (😄😄😄😄.5)




#terimakasihsudibaca



Comments

  1. Antara buku sastera klasik yang ksarie rasa memang terbaik dan best sangat walaupun banyak kosa kata yang memerlukan ksarie google hehehehehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yup betul! Ayat-ayat dia betul-betul buat diri terbuai... kadang terpandang2 gunung bongsu depan mata..

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kembang Semangkuk Petua Orang Lama

KL Sentral > Padang Besar ... Bestnya Naik ETS!

Resepi : Cucur Badak Lembut dan Sedap