CERPEN : PENGHUJUNG RINDU INI


Assalamualaikum & salam sejahtera uols,

Setelah lama berehat menulis & berblogging, EH kembali semula. Sebelum ni, semuanya dah kelaut. Risau juga tenggelam tak timbul-timbul. Congrats, EH! Berjaya juga berenang mencari daratan. Hahahaha. 

Lama tak share cerpen kan? Actually cerpen ni EH nak jadikan novella. Tapi, untuk promosi awal, baca versi cerpen dulu ya. Nak asal balik bakat menulis. Rsa macam dah tumpul sangat ni.

Maaf kalau ada sebarang kesilapan daripada pelbagai segi. Yang ni memang draf kasar. Tak sempat semak pun. Teruja nak share. Jangan risau, blog ni akan sentiasa diupdate dan hasil penulisan EH pun akan disunting. Buat sementara waktu ni, just baca dulu yang raw ni ya. 

Cerpen Penghujung Rindu Ini bergenre Romantik Thriller. Mana dapat idea ni? Daripada lagu Penghujung Rindu versi Azmi Saat. Taknak cakap banyak, jomlah baca. Support EH, ya!😄






PENGHUJUNG RINDU INI OLEH EZZAN HAQIS

“Rio!”

Dia dengar teriakan namanya. Tidak langsung dipeduli. Mereka itu semua harus disisih. Tenaganya dikerah seligat mungkin. Kelibang-kelibut langkahnya. Pecutannya semakin melaju. Tiada masa langsung untuk dia berpaling menjengah suara yang menerjah deria dengarnya tadi..

Degup jantung usah dikata. Kuat dan berdetak kencang. Langsung tidak memberi peluang untuk dia bernafas santai. Dia mencungap. Keringat sudah memercik di setiap inci sariranya. Lencun teruk t-shirt berwarna maroon bermaterial kain cotton yang tersarung di badan. Lekit tubuhnya tidak penting kala itu. Hanya satu matlamatnya kini. Dia harus selamat. Berhenti - dia mati. Lari - dia hidup. Sudah pasti pilihan kedua sedang dilakukan dengan bersusah payah ini.

Segala apa di depan matanya diredah, asal sahaja boleh ditempuh. Tidak peduli jika andai itu manusia yang bersepah di sana sini atau sebarang objek yang menjadi penghalang laluannya terus saja dilanggar kasar. Habis berterabur barang niagaan yang tersusun cantik di meja jualan peniaga-peniaga jalanan itu.

“Oi! Buta ke?”

“Bangsat! Gila punya orang!”

Berbakul makian tidak langsung dihirau. Ada yang sempat tertangkap telinganya. Banyak yang tidak langsung terdengar. Namun dia tahu pasti carutan bermain di mulut mereka. Mungkin ada yang tercedera atau rasa bengang berhimpun dalam diri orang-orang itu. Barang niagaan berterabur akibat tepisan kasarnya tadi. Sudah pasti rosak dan serabut kepala mereka untuk memikir jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung mereka. Keadaan sangat memaksa dia untuk melakukan itu. Nyawanya terlalu bernilai berbanding yang lain-lain.

Langsung tidak sempat untuk dia memikir arah langkahnya. Sekadar mengikut kayuhan kakinya. Dalam jarak tiga meter di hadapannya kini terbentang jalan yang agak sibuk dengan kenderaan yang bertali arus. Dia membelok laluannya ke kiri. Belum bersedia untuk meredah laluan yang penuh dengan kenderaan itu.

Malang sekali, tilikannya tidak tepat. Matanya tertangkap bayang manusia-manusia yang dikenali dalam jarak kurang daripada sepuluh meter dihadapannya. Orang-orang Jack!

"Sial!" Dia terperangkap.

Di belakang, Jack dan orang suruhannya masih memekik namanya. Di hadapannya pula sekumpulan lain sudah hampir menjejaknya. Ah, pasti mereka berpecah untuk menangkapnya! Satu-satunya pilihan yang dia ada kini dengan memaksa diri merempuh jalan yang sesak dengan ngauman kenderaan itu. Selagi masih boleh diselamatkan nyawanya dia harus buat itu. Dia nekad. Laju kakinya memecut ke jalan raya di hadapan mata.

Sreeeettttt......

Kuat bunyi tayar bergesel di jalan akibat berhenti secara paksa.

Secepat itu badannya melayang kasar. Jatuh tertiarap di atas laluan bertar. Dia tahu sesuatu telah merempuhnya. Walaupun dia tidak nampak dengan jelas apa jenis kenderaan yang menyebabkan dia terbaring di situ. Segalanya berlaku terlalu pantas. Sempat matanya tertangkap kelibat mereka yang mengejarnya tadi. Jack dan konco-konconya terlihat turut terhenti di tepi jalan. Dia sempat tertengok mata Jack tajam menikam anak matanya. Wajah yang penuh kemarahan terpamer.

Pandangannya terasa kabur amat. Deria dengarnya berdesing hebat. Kelopak matanya terasa terlalu memberat.

Piiinnnnnn!

Deria dengarnya masih dapat menangkap bunyi hon yang bingit sekali.

“Apa jadi?”

“Ada orang kena langgar oi!”

“Ke tepi-ke tepi. Bagi ruang.”

“Encik… encik… dengar saya tak ni?”

Dia dengar tu semua itu. Cukup riuh. Retina matanya hanya dapat merakam figura yang sekadar berbalam-balam. Terlalu kabur. Dia cuba berlawan dengan matanya. Gegak gempita tadi terasa semakin sayup pada pendengarannya. Serentak itu matanya perlahan-lahan tertutup rapat. Dia kalah kali ini.

******

 

Buk!

Cukup kuat bunyi sesuatu yang merempuh kereta mereka.

“Ayah!” Feena menjerit lantang. Terkejut dengan rempuhan kasar yang mengena but hadapan kereta yang dinaikinya.

 

“Allahu akhbar!” Pantas Haji Johar menekan brek. Berdecit kuat tayar kereta akibat nyahpecutan yang tiba-tiba itu.

Wajah Feena berubah pucat. Entah malang apa nasib mereka hari ini. Kereta yang dipandu ayahnya boleh melanggar kelibat orang yang muncul secara tiba-tiba di jalan itu. Walhal kereta mereka baru sahaja beberapa minit bergerak. Kalau diukur daya tujahan itu tidaklah terlalu kuat. Tetapi yang dinaiki mereka itu sudah tentu besi. Yang dilanggar pula tubuh manusia yang entah siapa-siapa. Pastilah mampu memberi cedera paling tidak pun retak di tubuh.

Haji Johar bergegas keluar sebaik sahaja kereta diberhentikan. Terkocoh-kocoh dia mendapatkan mangsa langgarnya tadi.

Feena masih tergamam di dalam kereta. Wajahnya pucat tiada darah. Jantung kencang berdegup. Dada memberat menahan cemas. Nafas seakan tidak tersusun. Badan mula mengalir suhu membahang. Telapak tangannya lekit berpeluh. Gemuruh itu telah kembali mencagun. Dia memang tak betah menghadapi situasi seperti ini. Kegelisahan yang melampau. Itu yang terpaksa dihadapi bertahun-tahun lamanya. Lagi pula apabila berdepan dengan situasi seperti ini.

Menggigil tangannya mencapai beg sandang yang tercampak di kerusi belakang. Rakus dia menyelongkar beg itu. Mencari sesuatu yang amat penting. Ditangannya kini tergenggam sebotol ubat. Botol mineral di sisi dicapai. Sebiji pil dikeluarkan lalu ditelan bersulam air mineral. Habis separuh air diteguk.

Pandangannya kini tertala di hadapan. Siapa yang telah dilanggarnya? Apa dah jadi dengan orang itu? Hidupkah? Atau matikah? Tidak jelas sebenarnya apa yang berlaku di hadapan keretanya. Pandangan matanya telah terhalang dengan badan-badan manusia yang pelbagai saiz, bangsa juga jantina. Kelibat ayahnya turut sama tenggelam dengan kerumunan manusia-manusia itu.

Cool down, Feena. Behave yourself.” Dia berbisik sendiri, cuba memberi tenang pada diri. Sedikit sebanyak ia berkesan buat ketika itu.

Perlahan pintu kereta dibuka. Kakinya melangkah lambat menghampiri kerumunan manusia di hadapannya. Kemunculannya Berjaya menarik perhatian beberapa orang yang tadinya sibuk berkumpul. Terkadang terdengar suara-suara berbisik sewaktu berselisih dengan beberapa orang yang entah siapa-siapa. Antara dengar dengan tidak, ada yang menyalahkan keretanya telah menyebabkan kemalangan ini berlaku.

Tak patut langsung! Ayahnya bukan sengajapun. Sempat Feena menjeling tajam memandang mereka yang mengata itu. Sepantas itu juga mereka berkalih tempat. Tiada lagi bisikan yang menyakitkan hatinya.

Feena terus berusaha mencari kelibat ayahnya. Sesekali kelibat ayahnya tertangkap di mata Feena. Ayahnya seolah cuba berkomunikasi dengan mangsa yang berbaring. Matanya tertarik untuk melihat orang yang berbaring itu.

Lelaki. Sederhana tinggi. Badan tidaklah besar mana. Nampak masih muda. Berkulit cerah. Rambut terikat. Jika dilepaskan pasti separas bahu. Dengan kedudukannya ketika itu, wajah lelaki yang terbaring itu tidaklah jelas pada penglihatannya.

Mujur lelaki itu masih hidup. Mungkin sekadar luka kecil. Harapnya tiadalah sebarang kecederaan yang serius atau pendarahan dalaman. Matanya tiba-tiba tertambat pada tangan kanan lelaki itu. Kuat mengepal. Seolah-olah ada sesuatu yang tergenggam di tangan lelaki itu. Terlalu kejap.

Apa yang digenggam lelaki itu? Hatinya terlalu ingin tahu.

******

 

Jack memerhati daripada jauh.  Tak lagi mengejar. Pandangannya sangat tajam. Kalau boleh tidak berkerdip, pasti itu yang dilakukan. Sedetikpun tidak mahu terlepas pandang. Nafasnya masih turun naik. Orang-orangnya yang tadi berpecah telah kembali berkumpul bersamanya.

“Macamana bos?” Jinggo menyoal.

Diam.

“Apa yang boleh kita buat ni, bos?” sampuk Fredo.

Masih berjeda.

“Takkan kita nak tengok macam ni aje, bos?” Jinggo mula membentak. Bengang melihat reaksi Jack. Penat mengejar masih bersisa. Tak berbaloi rasanya kalau sekadar tunggu dan lihat sahaja begini.

Jack mendengus kuat. Fredo menyinggul bahu Jinggo. Faham sangat dengan sikap panas baran Jinggo. Sejenis yang tak pernah ada perkataan sabar dalam kamus hidup Jinggo.

Jinggo tidak berpuas hati dnegan reaksi yang dipamer Jack. “Kita tak boleh lepaskan dia macam tu aje bos. Aku....”

“Dia tak akan terlepas!” keras Jack memotong. Tangannya tergenggam menahan marah. Matanya masih terarah pada Rio yang terbaring di atas jalan.

 

“Fredo. Next Plan. Location.” Tegas Jack memberi arahan.

Fredo angguk. Faham bentuk arahan yang diterimanya. Jaketnya diseluk memastikan barang yang akan digunakan kemas tersimpan di dalam saku.

Fredo memukakan langkah menghampiri kereta yang melanggar Rio. Paling penting dia perlu pastikan tiada sesiapa yang menyedari kehadirannya ketika itu.

“Shit!” Jinggo merengus kasar. Bengang tugasan itu bukan diberi padanya. Terasa dirinya seakan tercabar. Jika Jack memberi arahan pada Fredo, bermakna Jack lebih mempercayai budak mentah itu berbanding dirinya. Sedangkan dia lebih otai daripada Fredo.

Jinggo berpaling dan beredar. Sungguh dia memberontak. Biar Jack tahu yang dia tidak suka dengan arahan yang satu itu.  Melihat apa yang bakal dibuat Fredo bermakna dia membenarkan tugasnya dirampas budak mentah tu. Tak akan sekali-kali itu terjadi!

Jack sekadar memandang dengan tubir mata. Tidak menampak sebarang tanda menghalang pemergian Jinggo. Faham sangat dengan tindakan budak bawahannya. Satu persatu perangai dia dapat telah. Biarkan. Prinsipnya satu - hormat jika perlukan penghormatan. Dia Ketua di situ. Orang bawahan perlu tahu batas tempat duduk mereka!

Matanya ditumpukan semula pada Fredo. Pemuda bangsa Serani itu terlihat mula menghampiri kereta Alza putih yang tersadai di tepi jalan. Sesekali terlihat Fredo melingas memandang sekeliling. Kerja mereka perlukan kepekaan pada hal sekeliling. Pastikan betul-betul clear sebelum memulakan sebarang misi. Jangan sesekali tertangkap mahupun terperangkap!

Fredo di seberang jalan berhenti sebentar di tepi Alza putih itu. Syiling dijatuhkan. Dia menunduk mengutip syiling dan dalam masa yang sama sesuatu dilekatkan di bahagian bawah badan Alza putih itu. Setelah selesai tugasnya, perlahan-lahan dia turut serta bersama mereka yang berkumpul. Ingin menyaksikan sendiri keadaan Rio dari dekat.

Jack senyum sinis. Lega. Bermakna tugas Fredo telah dilaksanakan dengan baik. Saku jeans yang yang tersarung ditubuh diseluk. Telefon pintar dikeluarkan. Jarinya bermain-main diskrin. Mencari aplikasi yang sepatutnya. Butang ON ditekan. Signal biru mula menyala.

GPS SIGNAL DETECTED.

Itu yang tertulis diskrin telefonnya kini.

“Dismiss.” Dia memberi arahan. Senyum sinis terukir dibibir. Mereka bersurai meninggalkan tempat kejadian tanpa disedari sesiapa.

******

 

Feena tertarik untuk mengimbas lelaki yang tercedera itu. Tak sempat dia menilik dengan lebih teliti, lelaki tadi telah dipapah ayahnya. Beberapa orang turut sama membantu.

“Feena! Cepat masuk. Kita ke hospital,” Haji Johar memanggil.

Beberapa mata terlihat tertala ke arah Feena.

Tidak menunggu lama, terkocoh-kocoh Feena kembali masuk ke dalam kereta. Sempat dia menjengah belakang. Pemuda tadi berbaring lesu di tempat duduk belakang kereta mereka. Jelas sedikit raut wajah lelaki itu. Ternampak kesan luka dan darah di beberapa bahagian tubuh badan lelaki itu.

Kerumunan orang tadi sudah mula menyusut. Beredar memberi laluan untuk kereta mereka bergerak.

Haji Johar memandu tenang. Sesekali matanya memandang cermin pandang belakang memastikan lelaki itu berada dalam keadaan baik. Dia betul-betul berharap lelaki itu dapat bernafas dengan baik. Mengikut pengalamannya sebelum ini dalam bidang perubatan, keadaan lelaki itu tidaklah terlalu teruk. Mujur juga ketika dirempuh, halaju kereta yang dipandunya tidaklah tinggi kerana keretanya baru sahaja bergerak melepasi lampu isyarat.

Feena di sebelah dikerling seketika. Nampak anaknya itu masih cemas. Dia tahu, Feena sedang dalam keadaan trauma. Kemalangan dua tahun lepas yang menyebabkan dia kehilangan isteri tercinta masih berbekas dalam hidupnya. Apatah lagi diri Feena kerana anaknya itu terlibat sama dalam kemalangan itu. Feena bernasib baik dapat diselamatkan dan dia bersyukur sangat. Meskipun isterinya meninggal serta merta, tapi sekurang-kurangnya Allah tetap memberi peluang untuk satu-satunya tanda cinta bersama isterinya terus hidup.

“Feena… are you okay?” tegur Haji Johar. Membuang sepi untuk beberapa minit tadi.

Feena sekadar mengangguk. Wajah ayahnya dipandang sekilas sebelum mengukir sedikit senyum. Seboleh mungkin dia cuba menayangkan wajah tenang di hadapan ayahnya. Dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu.

“Tolong search hospital terdekat, boleh?”

Angguk. Cepat-cepat Feena membuka telefon pintarnya. Mencari apa-apa yang patut.

“Ayah terus aje pandu. Lagi tiga kilometer ada hospital dekat depan tu. Dah tak jauh dah,” beritahu Feena. Matanya kini beralih ke tempat duduk belakang.

“Oh!” Feena terjerit sekejap. Terbuntang matanya. Kedua-dua tangannya menutup mulutnya. Terperanjat. Lelaki yang cedera itu kini berada dalam keadaan duduk dan sedang memandang tajam ke arahnya.

Serentak Haji Johar turut menjengah cermin pandang belakang sebaik melihat reaksi Feena.

“Turunkan aku sekarang!” arah lelaki itu keras.

Feena meramas lengan ayahnya. Cuba mencari kekuatan. Dia benar-benar takut.

Haji Johar menggenggam tangan anaknya. Memberi isyarat agar bertenang. Matanya masih tertumpu di atas jalan.

“Dekat depan tu ada hospital. Sikit lagi nak sampai, encik,” tenang Haji Johar memujuk.

“Aku tak nak pergi hospital. Turunkan aku dekat sini,” desak lelaki itu.

“Encik cedera. Perlukan rawatan. Saya dah terlanggar encik, dan encik kini dalam tanggungjawab saya.” Haji Johar masih berusaha menenangkan. Dia juga gentar dengan situasi itu. Tapi dia juga perlu bertegas dengan pemuda itu. Kalau apa-apa terjadi, dia juga yang susah.

“Kau sahaja yang rawat aku.”

Feena dan Haji Johar berpandangan antara satu sama lain.

“Apa?” spontan Feena bersuara. Bukan dia tidak dengar. Dia juga pasti ayahnya turut sama mendengar. Dia sekadar bertanya bagi memastikan betul atau tidak apa yang didengari mereka.

“Aku nak kau rawat aku.”

Tangan pemuda itu menepuk-nepuk bahu Haji Johar.

“Kau nak aku ulang lagi?” sinis pemuda itu menyoal. Matanya menikam anak mata Feena. Bahu Haji Johar diramas kejap hingga meninggalkan kesan keremut pada kemeja yang tersarung.

Haji Johar terkedu. Feena menelan liur.

******

 

“Betul Encik tak nak dirawat ke hospital?” sekali lagi Haji Johar mengaju soal. Mana tahu kali ini pemuda itu berubah fikiran.

“Rio. Panggil aku Rio.”

Angguk. Haji Johar memandang pemuda yang bernama Rio itu. Masih lagi menanti jawapan pada pertanyaanya tadi. Rio hanya berbaring memejamkan matanya. Tiada langsung tanda-tanda untuk membalas.

Sebuah keluhan berat dilepaskan. Nak tak nak, Haji Johar sendiri yang perlu lakukan rawatan itu sendiri seperti yang dipinta Rio. Segala peralatan untuk merawat lengkap tersedia. Sarung tangan getah telah siap berbalut di tangan Haji Johar. Bersedia untuk melakukan proses merawat.

Begitu teliti Haji Johar membersihkan mana-mana darah yang sudah mula mengering pada tubuh Rio. Sesekali Rio berdecit apabila saraf sakitnya terganggu semasa dirawat. Feena sekadar menjadi pemerhati daripada jauh. Kadang dia membantu apa-apa yang patut jika khidmatnya diperlukan.

Haji Johar memegang kaki kanan Rio yang kemerahan dan mula menampakkan tanda-tanda membengkak.

“Arghhh!” Rio mengaduh. Sedikit terenjat. Matanya yang tadi terpejam spontan terbuka.

“Bengkak sangat ni. Rasa macam kena x-ray. Kita ke hospital, ya?” Haji Johar cuba membujuk. Di rumah tiada sebarang kelengkapan x-ray. Bimbang juga jika kaki lelaki itu retak mahupun patah.

“Kau tak faham aku kata apa tadi?”

“Faham. Cuma Uncle takut rawatan biasa tak sesuai dengan keadaan kaki kamu. Kamu baru lepas kemalangan. Tak tahu terhentak di mana-mana. Takut keadaan kaki kamu tu teruk. Kalau retak ok lagi. Kalau patah? Salah rawat bahaya untuk diri kamu.” Panjang lebar Haji Johar menerangkan.

“Buat aje apa yang aku suruh.”

“Degil.” Feena yang tadinya hanya sekadar menjadi pemerhati kini bersuara. Itupun sebab dia geram sangat melihat pemuda itu yang masih berkeras. Entah apa yang ditakutkan sangat nak ke hospital pun dia tak faham.

Mata Rio terhunus tajam pada wajah Feena. Mereka saling berlaga pandang kini.

“Lagipun, dekat hospital kelengkapan lengkap.” Haji Johar bersuara, cuba menyelamatkan situasi yang dirasakan menegang kini. Dia akui, berdepan dengan Rio memang boleh menyebabkan kesabaran menipis. Rio degil. Feena pula keras. Dan dia terpaksa menjadi elemen yang dapat melembutkan kedua-duanya itu.

“Aku belum nak mati lagi pun sampai nak kena hantar ke hospital.” Rio masih menunjukkan kerasnya.

“Kalau nak mati bukan ke hospital. Hantar ke kubur terus. Kebumi hidup-hidup. Cepat sikit matinya. Puas sikit hati,” sinis Feena bersuara. Dan dia memang sangat puas dapat melepaskan semuanya.

Jujur Feena sendiri pelik dengan sikap ayahnya. Terlalu berlembut dengan orang yang degil macam tu. Dahlah degil, keras kepala. Sombong pula. Tambah lagi satu - kurang ajar. Tak pandai nak hormat orang tua. Cukup geram sungguh apabila pemuda itu bahasakan aku – kau bercakap dengan ayahnya. Entah daripada planet manalah dia ni turun. Pakej lengkap seorang yang sangat jahat amat!

Rio mendengus kasar. Belum pernah lagi dia berjumpa dengan gadis yang selantang itu bersuara. Kalau lelaki pasti dah lama penumbuk hinggap di wajah. Kenangkan perempuan aje. Belum pernah lagi dia naik tangan pada mana-mana perempuan.

Rio memalingkan wajahnya daripada berterusan memandang gadis itu. Bimbang sabarnya menipis.

“Aku tahu kau boleh rawat aku,” putus Rio tertuju pada Haji Johar. Mata menikam anak mata Haji Johar. Wajib! Itu bahasa isyarat yang dihantar melalui matanya.

Haji Johar sekadar mengeluh perlahan. Menyambung kembali kerja merawat. Terpaksa dia mengalah dengan kehendak Rio. Walaupun terlihat sesuatu yang sukar, dia Cuma memberi rawatan yang sebaik mungkin berdasarkan pengalaman yang dia ada sebelum ini.

Feena menayang wajah cemberut. Kesal sekali lagi ayahnya menurut kata pemuda itu. Malang sungguh hari itu buat mereka. Sudahlah terlanggar orang. Orang yang dilanggar pula sejenis yang degil tahap tujuh petala langit. Nak dihantar ke hospital tak mahu. Tetap nak ayah yang merawat. Ayah pula bukan nak berkeras menolak. Tadah semua arahan pemuda itu. Sesak rasa otaknya saat ini.

“Rio, buka tangan tu. Uncle nak bersihkan luka dekat tangan tu pula.”

“Bersihkan ajelah. Nak kena buka tangan buat apa?” herdik Rio kasar.

Tersentak Feena mendengar ayahnya ditengking. Dia ni memang dah melampau! Drama apa pula sekarang ni?

“Letak dulu benda tu dekat sini. Jangan risau, benda tu selamat dekat sini” Haji Johar masih lagi berlembut.

Rio memandang kabinet sisi di tepi katil. Matanya kembali memandang wajah Haji Johar. Haji Johar mengangguk. Memberi jaminan dengan isyarat mata memberitahu yang benda yang tergenggam kejap di tangan pemuda itu sedari tadi selamat di situ. Lambat-lambat Rio meletakkan benda itu di kabinet sisi itu.

‘Apa benda yang penting sangat tu?’ Feena sekadar bermonolog di hati. Matanya tertarik untuk melihat benda yang menjadi pertikaian antara pemuda itu dan ayahnya. Pendrive? Apa yang penting sangat pendrive tu. Pasti ada sesuatu yang beekemungkin besar menjadi rahsia. Sesuatu yang tidak langsung boleh jatuh ke tangan orang lain barangkali. Jika tidak, tak akan sebegitu sekali reaksi pemuda itu untuk melepaskan pendrive itu daripada genggamannya.

 

Senyap-senyap Feena bergerak menghampiri kabinet sisi yang menempatkan pendrive tersebut. Berharap sangat tidak ada sesiapa menyedari perbuatannya. Lagi-lagi pemuda itu, cuba untuk dielakkan.

Tak sempat tangannya mencapai pendrive tu, terdengar Haji Johar berdehem keras. Tajam pandangan Haji Johar padanya. Seolah memberi isyarat 'jangan'. Feena faham akan arahan itu walaupun sekadar dengan isyarat mata. Terbantut terus perancangannya tadi.

“Ambil ni.” Pantas Haji Johar menghulurkan perkakas rawatan pada Feena. Sarung tangan getah ditanggalkan tanda kerja merawat telah selesai.

“Bagi dia rehat,” sambung Haji Johar. Dia berjalan ke pintu. Sampai sahaja ke muka pintu bilik itu, dia terhenti. Berpaling melihat Feena. Anaknya itu dilihat masih pegun berdiri di sisi kabinet itu. Faham sangat sifat ingin tahu Feena pada pendrive yang terletak di kabinet kecil itu. Tipulah jika dia juga tidak mahu ambil tahu tentang pendrive itu. Namun dia cuba menahan hatinya untuk tidak mengambil kisah tentang pendrive itu.

“Feena... come,” panggil Haji Johar, menggamit jarinya.

Feena serba salah antara sifat ingin tahu dan panggilan ayahnya. Keluhan perlahan dilepaskan. Kecewa apabila kehendaknya tidak dapat dipenuhi.

Mereka bergegas keluar. Perlahan pintu pintu bilik itu ditutup rapat.

“Ayah, explain please,” desak Feena sebaik keluar daripada bilik itu.

Haji Johar berpaling memandang Feena. “Explain what?

Everything.” Tajam Feena memandang. Tangannya bersilang di dada. Bersedia untuk mendengar penjelasan.

Haji Johar mengeluh kecil. “Apa yang Feena nak tahu?”

“Kenapa tak hantar sahaja dia ke hospital?”

“Feena pun nampak tadi, kan?”

“Ayah boleh berkeras, kan?” soal Feena. Masih bernada tidak puas hati.

“Kenapa perlu ke hospital kalau ayah sendiri mampu merawat dia?”

Bulat matanya mendengar. Bagai tidak percaya Feena mendengar jawapan ayahnya. “Kenapa ayah yang perlu rawat?”

I'm a doctor. Feena dah lupa?”

Feena ketawa. Berbunyi sinis. “Bekas doktor, ayah. Ayah jangan lupa tentang tu.” Sengaja perkataan bekas ditekan. Memang tujuannya utk menyedarkan ayahnya. Dah lama ayahnya meninggalkan dunia kedoktoran. Semenjak ibunya meninggal kerana terlibat dalam kemalangan, ayahnya terus menutup buku dunia kedoktoran. Pada ayahnya, tidak guna dia menjadi doktor pakar sekalipun jika tidak mampu menyelamatkan ibunya.

Haji Johar sekadar senyum pendek mendengar jawapan Feena. Dia tahu tentang tu. Tak pernah dia lupa. Tapi dia ada sebab tersendiri untuk melakukan itu.

Next?

Feena mengerutkan kening. Tak berpuas hati soalannya tergantung sebegitu.

“Kita tak kenal dia ayah. Siapa-siapa ntah tu. Entah baik, entah jahat. Menonong ayah bawa dia ke rumah kita.”

“Baik atau jahat, dia tetap manusia yang perlu diselamatkan. Orang tengah susah, kita tolong. Sedangkan Nabi sendiri membantu musuhnya yang sedang dalam kesusahan. Feena tahu tentang itu bukan?”

Feena mendengus kasar. Kenapa ayahnya bersikap sebegitu. Dia kenal sangat dengan Haji Johar. Ayahnya bukan mudah membantu orang sekonyong-konyongnya. Lagi-lagi orang asing. Yang langsung tidak dikenal asal usulnya. Bukan sekadar membantu malah membenarkan orang asing itu mendiami rumah mereka.

Feena benar-benar kecewa dengan jawapan Haji Johar. Tergeleng-geleng kepalanya. Tak percaya dengan apa yang berlaku hari ini.

He's not a good guy. I know you had noticed about this. But I still don't understand why you should drop your principle just to help that stranger. Unbelievable!” Suaranya sedikit meninggi. Tidak langsung terniat meninggikan suara pada ayahnya. Tapi tindakan Haji Johar itu benar-benar mengecewakannya.

Feena terus melangkah masuk ke biliknya. Pintu bilik dihempas keras. Sengaja berbuat begitu. Dia mahu ayahnya sedar yang dia tidak setuju dengan apa yang dilakukan ayahnya itu.

Haji Johar sekadar memandang anaknya hilang di balik dinding berbatu itu.

“Kamu betul, Feena. He's not a good guys..." gumam Haji Johar perlahan.

Matanya kembali memandang pintu bilik yang menempatkan pemuda itu. Sebuah keluhan berat dilepaskan.

 

******

Feena menghempas kasar tubuhnya ke kasur empuk. Hatinya sangat sakit. Emosinya bercelaru. Satu persatu peristiwa siang tadi bergentayangan di lubuk akalnya. Tergambar sangat jelas di ruang matanya.

 

Segalanya berlaku dengan begitu pantas hinggakan dia tidak dapat membayangkan bagaimana secara tiba-tiba kereta mereka terlibat dalam kemalangan itu. Mujur juga tidak langsung melibatkan kehilangan nyawa.

Siapa pemuda tu? Kenapa ayah terlalu baik hati sangat untuk membantu? Walhal, hospital yang patut dituju dulu. Kenapa ayahnya sanggup merawat sendiri? Ayah takut? Tapi, mereka bukan sengaja. Itu sekadar kemalangan. Boleh sahaja buat report polis jika keadaan memaksa. Tapi semua yang patut dibuat tidak dilakukan ayahnya.

Fikirannya tiba-tiba teringat sesuatu. Pendrive tu! Kenapa pemuda tu terlalu berkeras mempertahankan pendrive tu? Penting ke? Ah! Pasti sangat penting. Jika tidak, tak adalah dia menyaksikan adegan sesi pujuk memujuk antara ayahnya dan pemuda itu sewaktu memulakan proses merawat.

Feena masih ingat lagi bagaimana geram dia menyaksikan gelagat pemuda itu tadi. Pendrive tetap tergenggam erat ditangan lelaki itu. Sedangkan tangan pemuda itu luka teruk bergeser dengan tar. Bagaimana hendak membersihkan luka di tangan, jika jari pemuda itu tergenggam kedap?

Lima belas minit jugalah ayahnya terpaksa meyakinkan pemuda itu. Dan lima belas minit jugalah dia terpaksa menahan hatinya untuk bersabar dengan kerenah pemuda itu. Itu pun sempat juga dia membuang sindir pada pemuda itu. Jika ikut hatinya, mahu sahaja menyuruh ayahnya mengabaikan sahaja pemuda itu. Orang nak tolong. Dah kenapa degil sangat? Elok ditinggalkan sahaja. Itu makan dia. Sakit hatinya masih berbuku mengenangkan hal tadi.

Dia sendiri tidak faham kenapa hatinya begitu keras mengatakan yang ada sesuatu tidak baik pada pemuda itu. Aura negatif seolah memantul di sekeliling tubuh pemuda itu. Itu yang dapat dirasakan. 

Kepalanya memberat. Sakit memikirkan macam-macam persoalan yang masih belum berjawab.

Jam di sebelah dikerling sebentar. Waktu itu sudah melepasi masa tidurnya. Dipaksa mata untuk terpejam.

Seminit.

Dua minit.

Tiga minit.

Gagal. Matanya tidak langsung terasa utk tidur.

 

Dia duduk sebentar. Mengambil sedikit waktu duduk di birai katil sebelum melangkah longlai ke kamar mandi.

 

******

Siulan burung menyanyi lagu yang sangat mendamaikan. Nyaman halwa telinganya mendengar. Semilir angin berbisik gemersik. Sesekali terasa lembut menyapu raut wajahnya. Sejuk. Matanya masih lagi terkatup rapat. Sengaja berbuat begitu. Baginya cukup rugi membiarkan bahasa alam berlalu pergi begitu sahaja. Bukan mudah peluang hadir sebegitu.

Dia anak muda yang keluar sahaja melihat dunia, sudah hidup terperang di celahan kota batu. Sesak dengan lautan manusia yang pelbagai tingkah. Serabut dengan keadaan yang tiada pernah kenal apa itu diam. Terkadang membuatkan dirinya turut terbeban sama dengan gumpalan masalah dunia yang tidak pernah surut.

Ada sahaja aktiviti yang hidup. Mentari mahupun purnama kadang tiada endah. Dia sendiri terkadang tidak pernah ambil peduli tegak atau serongnya bebayang yang hadir. Sekadar rona langit berubah zulmat sahaja yang disedari andai ada yang bertanya mencari beza. 

Dan untuk itu dia berusaha untuk menghayati setiap sahutan panggilan alam selagi peluang itu ada.

Telinganya tiba-tiba tertangkap bunyi sesuatu. Gemersik amat. Terlalu nipis. Hampir terkadang antara jengah dengan tidak sahaja bisikan itu memberi getar pada gegendang telinganya.

Kelopak mata pantas terbuka. Situasi seperti itu perlu kepekaan yang sangat tajam. Segala deria tubuh harus bersatu bermain fungsi. Serentak dia duduk dari perbaringan. Telinganya ditajamkan. Matanya memberi tumpu dalam gerak paling perlahan. Seakan mengimbas setiap zarah-zarah suara yang bergerak di sekitarnya.

Badannya sudah mula tegak berdiri. Melangkah mengikut gerak suara yang gemersik. Semakin mampir arahnya ke timur, semakin jelas alunan itu. Dia sendiri sebenarnya sukar bermain teka. Suara itu berbunyi apa? Bukan lagu. Tak mungkin syair. Gurindam jauh sekali. Mana mungkin jampi juga serapah berbunyi setenang itu?

Dia sendiri tidak dapat mentafsir bahasa apa yang sedang didengar. Langsung tidak dia faham. Tapi, hatinya berentak damai apabila suara itu menyentuh telinganya. Sesekali terasa jantungnya bergetar tanpa sebab sehingga menimbulkan satu rasa. Sebak yang terlalu bergumpal penuh membuak. Tapi untuk apa rasa seperti itu perlu hadir? Dia keliru.

 

Tiada apa di dunia yang tiada jawapan. Segalanya perlu logik. Dia telah dilatih kerap menggunakan daya fikir. Padanya orang yang malas berfikir itu menempah kegagalan dalam hidup. Dia tidak pernah gagal. Malangnya untuk sekali ini dia benar-benar terasa hampir gagal. Kepalanya memberat. Sakit. Badannya mula bertempur antara ion-ion negatif juga positif. Keringat memercik basah di wajah.

“Kau tak boleh gagal, Rio!”

“Fikir, Rio. Fikir!”

Juat a loser, Rio... just a loser!”

“Tidaaak!” Dia akhirnya menempik. Lantang. Terlalu penat untuk bertarung dengan mainan jiwa.

Serentak dia terjaga. Ketika itu terasa dunianya terhenti seketika. Tiada lagi suara gemersik tenang tadi. Tiada juga bisikan-bisikan bingit yang berlumba-lumba mempengaruhi mindanya. Sunyi amat. Hanya kedengaran kini bunyi detikan jarum mekanikal jam dinding yang tergantung di hadapan matanya.

Dia memandang sekeliling. Cuba mentafsir apa sedang berlaku.

Tempat apakah ini? Dia nampak sepertinya berada di dalam sebuah bilik tidur. Yang pasti bukan bilik tidurnya.

Otaknya cuba mencakna apa yang berlaku sebelum dia terjaga. Kepala diramas kuat. Satu persatu peristiwa sebelum ini bermain dimindanya.

Kemalangan. Ya, dia dilanggar sesuatu. Dia memang ingat tentang itu. Dia kemalangan kerana cuba menyelamatkan diri daripada dikejar orang-orang Jack.

Dia teringat. Pendrive. Dia berjaya merampas barang amat bernilai. Segala rahsia dia juga kumpulan Jack ada di dalam pendrive itu. Kerana pendrive itu jugalah dia kemalangan.

Tidak menunggu lama, pantas dia bangkit. Cuba untuk berdiri.

"Arghhhhh!"

Dia tidak mampu mengangkat kakinya. Badannya juga terlalu sakit. Baru dia perasan keadaanya ketika itu. Tangan kanannya berbalut. Sikunya bertampal dengan handyplus. Pergelangan kaki kanannya turut sama dibalut. Mindanya kembali berpusing. Mengingat kembali apa-apa peristiwa yang masih terkepung di daya fikirnya. Ya, seseorang telah menyelamatkannya. Orang itu telah membawanya ke tempat ini. Dia sendiri yang memaksa mereka. Dia sudah ingat tentang itu.

Rasa denyut di kaki mula terasa. Dia tak rasa patah kerana kakinya tidak pula bersimen. Mungkin sedikit cedera. Bermakna dia masih boleh berjalan.

Bersusah payah dia memaksa juga diri untuk melangkah. Sakit. Tapi dia perlu cepat bertindak. Dia perlu keluar daripada tempat ini seberapa segera. Orang-orang Jack pasti sedang berkeliaran mencari. Cepat atau lambat, dia tetap akan ditemui. Dia cukup kenal dengan Jack. Jack tidak pernah gagal mendapatkan setiap apa yang dimahu.

Dia memandang meja di sisi katil. Laci almari sisi itu dibuka. Lega. Pendrive itu terletak elok di situ.

Dia menyeret perlahan langkahnya ke pintu. Perlu pantas keluar daripada bilik itu seberapa segera. Walau langkahnya berentak canggung!

 

******

 

Feena berteleku sebentar memandang kalam Allah itu. Alunan bacaannya terhenti sebaik sahaja terdengar bunyi suara berteriak. Dia yakin suara itu daripada bilik bersetentang denganya. Bilik yang kini diduduki lelaki asing yang sangat menjengkelkan.

Feena berperang dengan diri sendiri. Hatinya terlalu ingin mengintai di luar. Sedangkan badannya langsung tidak mahu memberi kerjasama. Punggungnya seolah berakar memasak lantai. Dia menunduk. Cuba mengintai celahan bawah daun pintu biliknya. Bimbang juga jika lelaki itu terpacak luar pintu biliknya. Ayah pasti masih lena waktu-waktu seperti itu. Kalau terjadi apa-apa pasti tiada siapa yang sedar.

Setelah berjeda agak lama serta yakin yang keadaan selamat, Feena menutup kalam Allah itu. Dengan masih telekung lengkap tersarung di badannya, dia lantas berjalan menghampiri pintu biliknya. Tombol pintu tergenggam lama sebelum diputar.

Pintu bilik dibuka sedikit, mengintai dalam debar. Terasa situasi masih selamat, pintu bilik dibuka lebih lebar. Tidak disangka serentak itu juga pintu bilik setentang dengannya turut sama terkuak. Figura lelaki itu berdiri pegun di depan matanya. Mungkin turut sama terpegun dengan situasi seperti itu.

Anak mata mereka bertemu dalam beberapa detik. Masa dirasa seakan terhenti ketika itu. Kesunyian malam begitu terasa sekali. Feena cuba untuk menutup kembali pintu biliknya tapi tangannya terasa kaku sekali. Seolah-olah tiada langsung tenaga untuknya walaupun dlm gerak yang paling perlahan.

Seperti Feena, Rio turut juga tergamam. Terkejut, lebih betulnya. Buka-buka sahaja pintu bilik terpacak wanita berpakaian serba putih menutup satu badan. Hanya muka sahaja yang terhidang untuk dipertontonkan. Hampir-hampir dia hendak menutup semula pintu kerana rasa gentarnya itu. Tapi tangannya tetap membeku di situ.

 

Mujur cahaya lampu di tangga menyala walaupun sedikit berbalam di ruang tengah itu. Sekurang-kurangnya masih ternampak pantulan wajah gadis yang menyarung serba putih  bertentangan dengannya kini.

Rio dapat mengagak, itu gadis yang turut sama membawanya ke tempat ini. Walaupun tidak jelas wajah gadis itu kini kerana keadaan pencahayaan yang tidak mencukupi, dia amat yakin tentang itu.

Tidak sangka pula penghuni yang mendiami rumah ini masih ada yang berjaga dlm waktu-waktu seperti ini.

Tidak mahu suasana sepi itu berterusan, Rio memulakan langkah. Bersusah payah dia bergerak. Kaki kanannya masih terasa sakit dan berdenyut. Tapi dia perlu berlawan dengan rasa perit itu.

Keluar daripada rumah ini. Itu keputusan yang paling tepat padanya ketika ini.

Feena memandang segala gerak langkah Rio. Masih tidak rasa untuk melakukan apa-apa. Dia nampak kepayahan lelaki itu bergerak walaupun ketika lelaki itu berpapasan di hadapannya. Dia sendiri tidak pasti kenapa hanya matanya sahaja yg dirasakan berfungsi ketika itu. Anggota tubuhnya yang lain dirasa bagaikan pegun membatu.

Tiada rasa untuk menjauhkan diri. Mungkin terlihat dengan keadaan lelaki di hadapannya yang terlalu bersusah payah untuk bergerak, dan padanya lelaki itu bukanlah suatu ancaman untuknya buat ketika ini.

Langkah Rio terasa sangat tidak teratur walaupun dia cuba berhati-hati sewaktu menuruni satu persatu anak tangga. Dia hampir sahaja tergelecek sewaktu memijak anak tangga yang terakhir. Mujur dapat diseimbangkan semula badannya. Jika tidak pasti akan menambahkan lagi beban kecederaan pada kakinya.

Feena masih memerhati gerak langkah pemuda itu. Hampir dia terpekik saat melihat lelaki itu tersilap langkah. Melihat sahaja kejadian itu, Feena mula melangkah. Tidak terasa membantu, sekadar mengiringi lelaki itu daripada jarak yang sedikit belakang.

Feena sendiri tidak dapat membaca apa yang bermain di fikiran lelaki itu. Dia hendak ke mana? Ke dapur? Ke ruang tamu? Atau keluar daripada rumah ini? Mungkin juga dia lapar? Mahu tidaknya, sedari petang tadi lelaki itu tidur. Satu makanan langsung tidak terisi.

Langkahnya terbejat apabila lelaki itu menoleh memandangnya. Sangat tajam. Feena terasa begitu canggung ketika itu.

 

“Dapur sebelah kiri,” beritahu Feena tiba-tiba. Entah kenapa mulutnya spontan mengatakan itu. Mungkin disebabkan tilikan yang terakhir di fikirannya menyebabkan ayat itu melantun keluar.

Rio mempamerkan wajah yang langsung tiada riak. Dia kembali meneruskan langkahnya ke hadapan. Dia memandang sekilas ke kiri. Terlihat ruang dapur yang masih bergelap. Langkah diteruskan melepasi ruang dapur.

“Tunggu!” Tidak menunggu lama, Feena cepat-cepat mengatur langkah menuruni tangga. Suiz pada dinding hujung tangga di tekan. Ruang itu kini terang benderang.

Feena berdiri menghadap lelaki itu. “Awak lapar?”

“Mana pintu keluar?” Rio bersuara membuang soal. Tidak berminat menjawab pertanyaan gadis itu. Jujur, perutnya memang terlalu pedih menahan lapar. Tetapi untuk masa segenting itu, dia tak rasa perkataan lapar adalah sesuatu yang lebih penting selain keluar selamatkan diri. Dia perlu lari jauh daripada tempat ini sebelum orang-orang Jack dapat menjejaknya.

“Awak nak ke mana malam-malam buta ni?”

“Itu bukan urusan kau. Mana pintu keluar? Aku nak keluar.”

“Keluar? Dengan keadaan awak yg macam ni?”

Rio terdiam.

“Turun tangga tadi pun dah hampir terjelepuk jatuh. Ada hati nak keluar dengan kaki yang cacat macam tu?" sengaja Feena mencetus provokasi. Entah mana datang kekuatan yang satu itu. Mungkin rasa bengang kes siang tadi ditambah pula bahasa lelaki itu beraku-engkau. Agak kasar sungguh pada pendengarannya.

Rio mendengus kasar. Gadis dihadapannya seolah-olah mencabar kemampuannya. Dia hanya sedikit tempang sahaja. Bukan cacat! Ini Rio, lah. Ini bukan kali pertama dia berkeadaan macam ni. Sedangkan lebih teruk daripada ni pun dia masih boleh berlari jika keadaan memaksa.

“Tempat ni tak selamat untuk aku,” beritahu Rio. Tegas.

Pecah tawa Feena tiba-tiba. Biar betul. Apakah kemalangan yang menimpa lelaki itu telah menyebabkan akalnya gagal berfungsi? Patutnya Feena yang rasa tak selamat berdepan dengan lelaki asing yang datang daripada ceruk mana ini. Tahu-tahu saja terjongol jadi mangsa kemalangan. Entah sengaja atau tak, mana dia tahu? Mungkin ini semua sekadar sebahagian perancangan lelaki itu sahaja. Boleh jadi juga.

 

“Awak buat lawak apa tengah-tengah malam ni? Saya yang patut rasa tak selamat, tau. Ini rumah saya. Awak tu. Entah siapa-siapa. Entah jahat entah baik. Ada dalam rumah saya ni. Perlu ke saya rasa selamat sekarang ni?” sinis Feena menyoal. Tangan disilangkan ke dada. Memandang dengan penuh meluat.

Rio bertingkah pandang. Penumbuknya digenggam kuat cuba untuk menahan rasa amarah yang sudah berbahang di tubuhnya. Dia perlu keluar daripada tempat ini seberapa segera. Dan sekarang gadis di hadapannya seolah-olah cuba untuk menghalang!

“Ke tepi!” keras sekali suara Rio.

“Kalau saya tak nak?”

“Kau jangan paksa aku buat benda yang aku tak suka,” gumam Rio keras menahan geram.

“Awak sendiri dah buat sesuatu yang saya tak suka, tau. Orang dah tolong, terima kasih pun tidak. Cakap pun asyik nak kasar aje. Silap besar saya benarkan ayah turut kemahuan awak. Elok saya paksa ayah hantar aje awak dekat balai. Senang cerita. Tak adalah buang tenaga saya dan ayah bantu orang asing macam awak ni. Sedar sikit diri tu, stranger!"

Perempuan ni memang dah melampau! Rio menolak kasar gadis di hadapannya itu. Cuba untuk menggerakkan langkahnya dengan laju. Dia hendak buktikan yang kakinya masih lagi elok berfungsi. Bukan cacat seperti yg diperkatakan gadis itu!

Feena tersentak. Rasa tidak percaya yang lelaki itu sanggup menolaknya. Hampir sahaja dia tersembam ke lantai. Mujur dia sempat berpaut pada dinding. Kurang ajar betul lelaki ni!

Rio melangkah ke kanan. Cuba mencari pintu utama. Apa yg dicari telah ditemui. Dia memegang tombol pintu. Namun gerakkannya terhenti seketika. Dia berdiri di tepi pintu gelangsar. Menyelak sedikit tirai. Mengintai keluar melalui pintu bercermin itu. Dia perlu memastikan keadaan selamat di luar. Walaupun dia cekap untuk melarikan diri, dalam keadaan kakinya yang kurang mampu itu, amat menyukarkan pergerakkannya.

“Shit! Dia orang dah dapat kesan!” gumamnya. Wajah Rio berubah cemas.

“Siapa yang dapat kesan?”

Terkejut Rio. Entah semenjak bila perempuan ni ada di sebelahnya dia tak perasan.

Feena cuba menyelak tirai yang menutupi pintu kaca itu. Ingin melihat apa yang membuatkan lelaki di tepinya itu cemas. Namun tangannya pantas ditarik lelaki itu. Terganjak dia ketepi.

Feena terkejut. Wajahnya berubah pucat.

 

“Lepaslah!” tangan Feena yang masih kemas dipegang kejap lelaki itu berusaha disentap. Belum pernah sekali lelaki ajnabi memegangnya seperti itu. Mujur juga masih berlapik dengan telekung yang tersarung di badannya. Sekurang-kurangnya auratnya masih lagi terpelihara.

Rio makin kejap memegang lengan gadis itu. Diheret menjauhi pintu gelangsar. Dia tidak mahu orang-orang Jack perasan yang kehadiran mereka telah dikesannya.

Langkahnya terhincut-hincut bergegas menaiki semula anak tangga. Gadis itu diheretnya sama. Kini dia rasa lebih selamat di dalam rumah ini berbanding di luar sana.

“Awak nak buat apa ni?” Feena menyoal cemas. Dia terlalu takut kini. Kelakuan pemuda itu benar-benar menakutkannya. Makin dia cuba melepaskan tangannya makin kuat lengannya dicengkam. Sangat sakit!

“Diam!” gumam Rio keras. Dia berusaha untuk tidak meninggalkan sebarang bunyi keras. Bimbang suaranya dapat dikesan daripada luar. Rio tidak pasti setakat mana orang-orang Jack memerhatikannya. Tapi dia yakin mereka sekadar memerhatinya daripada jauh sahaja.

“Awak dah menakutkan saya tahu tak!” Airmata mula mengalir laju. Sungguh Feena terlalu takut sangat waktu ini. Dia betul-betul berharap ayahnya terjaga ketika itu.

Langkah kaki Rio terhenti. Pegangan tangannya dilonggarkan. Baru dia tersedar yang kelakuannya telah menakutkan gadis itu walhal langsung dia tidak berniat apa-apa. Dia sekadar hendak memastikan orang-orang Jack tidak dapat mengesan apa yang telah berlaku di dalam rumah ini. Itu sahaja!

Feena menangis. Tubuhnya mula menggigil. Tangannya disentap kasar. Pegangan lelaki itu terlerai.

“Aku minta maaf.” Rio sempat mengintai atas. Bimbang juga ayah gadis tadi terjaga. Dia tidak mahu berhadapan dengan masalah yang lain. Cukuplah sekadar berdepan dengan gadis itu. Itu pun dah cukup memeningkan dan mendatangkan salah faham.

Rio memerhati gadis dihadapannya itu. Air mata masih laju mengalir di pelipis gadis itu. Terasa sungguh serba-salah ketika ini.

Rio melepaskan keluhan berat. “Percaya cakap aku untuk kali ini. Aku tak akan libatkan kau dalam masalah aku. Kau anggap aku tak wujud dalam rumah ni, dan kau akan selamat.”

“Apa maksud awak?” soal Feena. Sedu cuba ditahan.

“Kau dengan hal kau, aku dengan hal aku. Aku tak nak kau masuk campur. Faham?” suara Rio mula sedikit kendur walaupun bernada tegas. Cuba untuk tidak memberi rasa takut pada gadis itu.

“Awak boleh jamin saya dan ayah selamat?” Feena menyoal. Memandang Rio dengan penuh mengharap.

Berkerut dahi Rio. Cuba menangkap maksud gadis itu. Apakah gadis itu dapat mengesan sama kehadiran orang-orang Jack? Atau keberadaan dia di rumah itu yang dimaksudkan gadis itu?

Sudahnya Rio sekadar mengangguk. Dia tidak mahu menyerabutkan kepala dengan menebak apa yang ada di fikiran gadis itu. Otaknya lebih tertumpu cara untuk melarikan diri daripada orang-orang Jack.

Rio meneruskan langkah. Menuju terus ke biliknya. Feena sekadar membuntuti daripada belakang.

Mereka berhenti di hadapan pintu bilik masing-masing.

“Kunci pintu.” Pesan Rio pada Feena sebelum menghilangkan diri di dalam biliknya.

Feena dengar. Cuma dia tidak mampu membalas apa-apa. Walaupun rasa takut itu telah berkurang, dia tetap harus berwaspada. Jika pemuda itu tidak berpesan sekalipun, pintu bilik itu memang akan sentiasa dikunci.

Feena masuk ke dalam biliknya. Telekung ditanggalkan. Dia duduk di birai katil. Masih memikirkan kejadian tadi.

Kelakuan lelaki itu sangat mencurigakan lebih-lebih lagi selepas memandang keluar rumah. Ada apa di luar sana? Siapa yang dielakkan lelaki tu? Feena memandang jendela biliknya. Kalau diikutkan jendela biliknya selari dengan kedudukan pintu gelangsar. Perlahan dia bangkit menghampiri jendela. Tirai dikuak sedikit mengintai dalam debar.

Jelas nampak di luar pagar rumahnya sebuah kereta yang agak asing duduk mendiam di seberang pagar rumahnya. Belum pernah sebelum ini kereta berhenti di situ. Kereta siapa? Sebab kereta itu ke lelaki tadi kelihatan cemas?

Pening Feena memikirkan semua itu. Lelaki itu terlalu misteri padanya. Banyak persoalan yang tidak dapat terungkai. Dia sendiri sebenarnya kurang percaya dengan lelaki itu. Tapi jaminan keselamatan yang diberi lelaki itu tadi sekurang-kurangnya cukup memberi tenang padanya waktu itu.

Feena berbaring. Dia perlu berjaga-jaga. Tidak boleh alpa walau sedikit. Entah bila dia akhirnya terbuai dlm mimpi, Feena sendiri tidak sedar.

******

(akan bersambung)

 

Hak Cipta Terpelihara

Tidak dibenarkan mana-mana bahagian daripada penulisan ini ditulis semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan kepada bentuk lain, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman, atau lain-lain tanpa kebenaran bertulis daripada penulis terlebih dahulu. Penulis berhak atas setiap tulisan dan karyanya.


Comments

  1. "¿Alguien ha probado ChatGPTEspañolpara mejorar sus conversaciones en español? Estoy interesado en conocer sus experiencias y cómo les ha ayudado esta herramienta en sus interacciones en línea. ¿Qué características destacan y cómo creen que podría seguir mejorando?"

    ReplyDelete
  2. The Best CFO Recruiters are like matchmakers for companies and financial leaders. They understand what skills and qualities a CFO needs and what a company is looking for. They use their connections and knowledge to find the perfect match.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kembang Semangkuk Petua Orang Lama

KL Sentral > Padang Besar ... Bestnya Naik ETS!

Resepi : Cucur Badak Lembut dan Sedap