Tavel | Sabah | Kampung Tempasuk Dan Ais Krim Gula Apong, Kota Belud

Assalamualaikum & hai hai hai...

Syok baca cerita aku tentang Mantanani Island semalam? Nak tau cerita best lagi tentang pengembaraan aku kat Borneo ni? Meh kita teruskan ekspedisi jalan-jalan di Sabah. 

Masih lagi cerita di Kota Belud. Sebelum tu, aku nak gebanglah sikit kenapa antara banyak-banyak tempat di Sabah, Kota Belud yang jadi pilihan hati kami.

Tempasuk @ Kota Belud 

Antara sebabnya Kota Belud punya daya tarikan yang tersendiri. Bahasa omputih 'secret germs' atau permata yang masih tersembunyi, masih terjaga keindahannya gitu... Bukan setakat ada Pulau yang indah menawan, malah Kota Belud punya perkampungan yang tidak kurang hebatnya. Kenapa aku kata camtu? Korang baca sampai habis tau thread aku ni sebab dalam ni aku akan abadikan keindahan menjelajah perkampungan di Kota Belud.

Kota Belud yang turut dikenali dengan nama Koboi Timur. Kalau dah nama Cowboy atau Koboi tu, dah tentu korang akan terbayang-bayang orang tunggang kuda, kan? Yup! Tepat sekali. Majoriti terdiri daripada suku kaum Bajau atau Samah dan suku kaum Dusun serta ada juga suku kaum lain seperti Irranun, juga Tionghua yang menginap di daerah Kota Belud ni. Nak tau tentang lebih detail berkaitan Kota Belud, gunakanlah khidmat Encik Google atau boleh baca keterangan ringkas di sini Tentang Kota Belud.


Sepetang di Tempasuk, Kota Belud

Kalau korang masukkan Kota Belud sebagai salah satu destinasi jalan-jalan korang di Sabah, WAJIB untuk korang masukkan melawat ke mana-mana perkampungan di daerah Kota Belud ni. Kenapa aku cakap macam tu? 

Sebabnya pemandangan di kampung-kampung sekitar Kota Belud begitu memikat. Dengan sawah padi yang terbentang menghijau seluas mata memandang, berlatar belakangkan pula rabung-rabung gunung dan bukit yang terletak memanjang yang wujud daripada Banjaran Crocker. Sesekali puncak Gunung Kinabalu menunjukkan diri. Itu belum ditambah lagi dengan langit membiru melengkapkan lagi panorama kecantikan suasana di perkampungan sekitar Kota Belud ini. Pasti terkesima mata memandang.

Tak perlu nak pergi jauh-jauh nun sampai ke oversea nak tengok langit biru, kat Kota Belud sini pun dah cukup cantik. Beautiful Malaysia okay...

Cantik sangat kamu ini, bah! Subhanallah...

Setiap sudut di daerah ini cukup indah dan memukau tidak kira masa, waima detik sekalipun. Bermula daripada terbit mentari di ufuk timur hingga terbenamnya matahari di ufuk barat. 

Ada banyak perkampungan menarik yang boleh dipilih di Kota Belud. Antaranya Kampung Tempasuk, Kampung  Sangkir, Tegudon Tourism Vilage (kawasan berbayar) dan banyak lagi kampung di sekitar. Boleh pilih aje nak berbayar atau percuma. Walaupun berbayar, banyak aktiviti yang boleh dijalankan dan percayalah ianya berbaloi kerana mereka menjalankan perusahaan secara eco-pelancongan. 


Sempat lagi bergambar dekat sawah yang cantik menghijau ni.

Untuk korang yang masih amalkan konsep percutian budget macam kami, jangan susah hati. Korang masih lagi berpeluang merasai keindahan pemandangan cantik di daerah ini. Kami memilih bermalam di Homestay Tempasuk untuk merasai hawa di kampung Tempasuk. Dapat tengok view menawan sambil tidur kat kawasan berdekatan sawah gittew... Pilihan penginapan ini memang sangat tepat dan berbaloi. 

Homestay ini dekat dengan tempat-tempat menarik yang kami hendak jelajahi seperti Jeti Rampayan Laut untuk ke Pulau Mantanani yang hanya memakan masa 15 - 20 minit sahaja. Dan paling penting dekat dengan gerai Ais Krim Gula Apong the must visit JJCM place bila berada di Kota Belud ni. Sekitar 7 - 10 minit aje.

Tempasuk Homestay, Kota Belud

Aku puji homestay ni. Selain bersih, besar & selesa, homestay ni memang super perfect. Nak masak ada dapur yang lengkap & besar. Nak basuh baju pun boleh? Ada washine machine. Bilik ada 3 bilik dan semua bilik ada aircond & kipas. Sejuk wei bila malam-malam. Berbungkus masing-masing. Kipas pun banyak. Memang tak panaslah. Bilik air ada 3. So takyah nak berebut-rebut bilik air. Sesuai untuk percutian dengan family or ahli yang ramai.

Oh lupa! Homestay ni terbahagi 2 tingkat. Tingkat atas & tingkat bawah. Rezeki kami dapat tingkat bawah. Nak basuh pinggan nampak sawah padi  di belakang rumah dengan sesekali bersambut bunyi kokokan dan deram ayam kampung & siap ada burung wakwak lagi cari makan dengan anak-anaknya. Eh, sebiji macam suasana kampung. Memang ohsem! 

Harga untuk 1 malam? RM 232 sahaja, dah termasuk tourist tax. Orang Semenanjung pun dikira tourist tau. Hehehehe. Tapi tak mahal mana pun memang murah & berbaloi. Tempat parkir juga luas. Kalau datang ramai boleh share-share. Jimat sikit. Sharing is caring, kan... 

Boleh hubungi terus owner homestay untuk tujuan booking atau guna online aje. Mana-mana pun boleh.

Rata-rata penduduk di Kampung Tempasuk ni jadikan aktiviti pertanian & penternakan sebagai pekerjaan utama untuk sara diri. Selain jumpa bendang menghijau, jumpa lembu lepak di tepi & tengah jalan itu perkara biasa di sini. So kena hati-hati semasa memandu, ya! Lembu Kota Belud ni memang besar-besar, sihat-sihat & debab-debab. πŸ˜†Kadang selamba aje depa bersenang-lenang bersantai atas jalan. Memang terkejut, beb! 😧

Walaupun Kota Belud ni terkenal dengan kuda, tapi setakat ni, aku belum lagi terserempak dengan kuda kat Kampung Tempasuk ni. Aku rasa mungkin penduduk sini dah naik kuda moden (motorsikal), kot. Rasanyalah... πŸ˜…

Nampak tak puncak paling tertinggi di Banjaran Crocker tu? Akinabalu!

Jatuh cintanya dengan pemandangan sepanjang perjalanan.

Masa untuk sesi bercerita tentang jalan-jalan cari makan (JJCM) pula. Macam yang aku cakap tadi, misi kami ke sini memang nak cari Ais Krim Gula Apong. 

Walaupun Ais Krim Gula Apong ni terkenal dekat Sarawak, tapi ais krim gula apong di Kota Belud, Sabah ni pun tak kurang enaknya. Tahap kemanisan? Pada aku rasanya memang balance sangat dengan bahan-bahan yang lain. So kalau mereka yang tak kuat manis ni memang sesuai sangat cuba Ais Krim Gula Apong Kota Belud ni. Segar tau anak tekak bila ia mengalir masuk ke esofagus. 

Tak sabar memasing nak rasa keenakan Ais Krim Gula Apong


Wefie dulu sebelum makan.

Kat area Tempasuk ni ada beberapa juga kedai yang jual Ais Krim Gula Apong ni. Pilihan kami di Kedai H.M Niaga, Kg. Wakap. Nak ke sini tak susah, korang taip aje dekat waze atau google map 'Warung Aiskrim Cendol Gula Apong Kota Belud' memang akan jumpa.

Tu dia aihhh... Serba satu kami nak rasa.

Sampai di sini, menu yang wajib cuba dah pastinya Ais Krim Gula Apong. Aku suggest korang cuba tiga-tiga ni. Cendol Gula Apong (RM3.50), Aiskrim Gula Apong (RM3.50) & Ais Aiskrim Gula Apong Special -ada milo tabur (RM4.00). Tiga-tiga ni memang sedap, beb! Cendol dia tu lengkap isi & bahannya. Cendol, jagung, kacang merah, 2 scoop aiskrim. Perfect! Signature dish Aiskrim Gula Apong ni pun memang enak bangat! Tak cukup semangkuk rasanya. Yang special dengan tambahan milo tabur pun tak kurang sedapnya. Korang kena cuba dulu baru korang tau camne rasa keenakan & kesegarannya. Fuh! 
Meh kita zoom-in bagi dekat lagi. Biar ngences bak kata Orang Jawa. Mesti meleleh ja ayaq liuq hangpa Orang Utagha habaq.

Selain menu gula apong, ada menu lain yang korang wajib cuba. Sayap / kepak ayam madu di gerai ni. Kenapa aku cakap wajib cuba? Even Sabah memang terkenal dengan kepak ayam madu bakar, tapi yang dekat Kota Belud ni lagi sedap. Kepak ayam dibakar dengan perfect sekali. Masih lagi juicy dan tidak terlalu kering atau rentung. Tak adalah hangus sangat. Selain itu, saiz kepak ayamnya juga besar sikit. Bagi penggemar tonggeng ayam juga, highly recommended. Ini review daripada kawan akulah sebab aku tak makan tonggeng ayam. Tonggeng ayamnya memang gebu & dibakar sempurna. Yummy! πŸ˜‹

Kepak ayam tu depa jual RM 1.50 ja seketoi. Yang tonggeng pulak RM1 ja secucuk. Murah tak murah oiii...

Sayap & tonggeng ayam Kota Belud

Selain kudapan ringan, ada juga menu berat makanan goreng-goreng dan ala carte yang lain. Menu yang kami pesan nasi goreng seafood, nasi goreng kampung pedas & mihun sup daging. Aku recommend sup daging kat sini. Orang Sabah pandai buat sup, wei! Sedap supnya. Sup dicampur bersama rempah-ratus yang direneh sebati dalam sup. Perfecto! 

Dah puas makan semua yang berat tu, jangan lupa cuba pencuci mulutnya. Sagu Santan Pandan. Keenakan manisan campuran sagu, potongan agar-agar yang dipotong dadu dengan siraman lemak-lemak santan yang dihidang sejuk memang begitu menyegarkan.

Manisan Sagu Pandan

Harga makanan ni semua sangat munasabah & berpatutan , kena dengan keenakan rasanya. 

Fuh! Panjang pula aku bercerita bab makan ni. Terliur? Hahahaha... apa lagi, masukkan semua ni dalam itinerary korang semua. 

Kalau ada masa terluang, aku cadangkan korang santai-santai petang sekitar kampung ni. Kawan aku cadangkan jogging. Jogging? Aku awal-awal lagi dah cop jogging dalam kereta sambil iring ambil gambar depa berjogging. Hahhaha. 

Tapi memang tak dinafikan memang syok aku rasa berjogging petang-petang tepi sawah sambil saksikan sunset. Kat sini orang kata sunset cantik ooo... Malangnya aku tak berkesempatan cari sunset kat sini sebab tengah syok menjamu selera kat warung gula apong ni. Tau-tau dah dengar muazzin laung azan Maghrib. Hahaha. 
Tak sempat kejar sunset, tau-tau dah gelap πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚

Tak dapat tengok sunset dapat kejar sunrise pun jadilah. Sunrise pun ada yang kata cantik kat kampung ni. Tapi....

Terlajak waktu lagi kami. Penat snorkeling agaknya. Ingat nak keluar lepas je Subuh. Subuh baru nak kemas-kemas beg & sediakan breakfast. Last-last matahari dah naik baru keluar. Tak sempat nak tengok sunrise. Tak apalah. Macam yang aku cakap, kat kampung ni tiap waktu pemandangan dia memang ohsem! Boleh aje dapat view yang menarik setiap masa.


Betul tak aku cakap? Nak gambar tepi, tengah, setiap sudut cantik banget! I'm in love sama kamu, Tempasuk Kota Belud!😍

Nak rasa bergambar atas jalan raya tanpa gangguan kenderaan lain? Di sinilah tempatnya. Tempasuk. Kawan aku siap cakap lagi macam Lindis Pass kat New Zealand. Kami sempat siap rakamkan aksi lompat lagi kat tengah jalan. Nampak tak lengang betul jalan kawasan sini. Damai aje hati.

Jalan ini ana yang punya! Tempasuk a.k.a Lindis Pass Malaysia. Nampak tak Mt. Kinabalu kat belakang tu?

Pulau dah, checked. Sawah padi, checked. Ke mana lagi kita lepas ni? Nak tengok pantai yang airnya jernih di Kota Belud? Jangan lupa ikut rapat-rapat blog ni ya! Pasti akan menjanjikan satu pengalaman membaca yang menarik buat korang rasa macam dah jejak kat tempat ni walaupun sekadar baca dari blog aku aja. Stay tune, ya....

Bersedia ke lokasi seterusnya. Bye Tempasuk! πŸ‘‹

Sebelum tutup coretan aku ni, meh nak belanja sikit video :




Baca juga :


#terimakasihsudisinggah



Comments

  1. Cantiknya view di Kota Belud ni. Tengok gambar pun dah boleh rasa nyamannya kawasan ni. Tak pernah sangka Kota Belud seindah ini. Nak kena menabung bersungguh-sungguh supaya dapat berjalan-jalan ke Kota Belud pula lepas ni. Nice sharing Ezzan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Serius memang best Kota Belud ni... harus masukkan dalam bucket list cuti-cuti Malaysia... tempat memang awesome sangat... 😍

      Delete
  2. Dah try ais krim gula apong kat kedai yg sama...sedap

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yeay! Ada geng yang dah pernah try keenakan ais krim gula apong kat sini... thanks ya sudi baca... 😘

      Delete

Post a comment

Popular posts from this blog

Kembang Semangkuk Petua Orang Lama

Resepi : Kerepek Pisang Rangup Sedap

Resepi : Karipap Kentang Sedap