Cerpen Raya EH : Lemang Jagung Laut Hindi

Assalamualaikum & selamat pagi to all readers...

Nak baca cerpen raya tak? Sempena hari baik bulan baik ni, aku nak kongsi cerpen baru yang aku tulis khas untuk bulan Ramadhan & Syawal yang akan menjelma tidak lama lagi. Jarang aku kongsi cerpen untuk bacaan semua. Biasa aku buat koleksi sendiri untuk dikumpulkan. Kot-kot boleh buat antologi cerpen-cerpan karya aku ke kan. Untuk kali ni aku kongsi buat semua pembaca kat luar sana. Cuma aku akan buat part by part. So rajin-rajin ye tengok-tengok update terbaru dalam ni. Selamat berpuasa semua & happy reading. 😄


LEMANG JAGUNG LAUT HINDI OLEH EZZAN HAQIS


“Assalamualaikum... Mak...”
“Waalaikumussalam... Awa? Salwa ke ni?”
Jeda.
Salwa menelan liur. Perit. Suaranya seakan hilang. Bicara lembut itu begitu menggoncang jiwanya yang sarat dengan pelbagai rasa. Dia hilang arah. Segala apa kata-kata yang telah dirancang sebelum ini bagaikan terbang. Berlalu pergi daripada kotak fikirannya. bagaikan semilir angin.
“Helo... Awa anak mak... Mak tahu, ni Awa, kan?” Dapat didengar kesungguhan suara di hujung talian menyoal.
Suara itu. Saban waktu Salwa rindu akannya. Lima tahun bukan satu jangka masa yang singkat untuk dia menahan gelora rindunya yang selama ini cuba dipendam. Ego. Hanya kerana satu perkataan itu mengikat dirinya yang sedia beku.
“Awa... Awa ke mana aja, sayang? Lama mak tunggu Awa. Hari-hari mak tak jemu tunggu sebelah telefon. Mak takut kalau Awa telefon, mak tak dengar. Mak tahu, kalau Awa merajuk sekalipun, Awa tak pernah lupa nak tanya khabar mak. Kalau mak tak dapat tatap wajah manis anak mak sekalipun, sekurang-kurangnya mak dapat dengar merdu suara anak mak...” Terdengar sedu halus suara tua emaknya.
Rasa tersiat-siat hatinya saat mendengar luahan bicara suara tua itu. Pedih. Rasa bersalah yang menebal kini mula bersarang dihatinya. Dia telah berjaya menitiskan air mata emaknya. Setitis air mata yang menitis daripada seorang ibu akibat daripada perbuatan seorang anak yang mengguris hati ibunya, maka tertutup pintu syurga buat si anak jika masih tidak mendapat keampunan daripada si ibu. Itu yang pernah didengar Salwa daripada penceramah sebelum ini.
Ya Allah. Emak menangis kerana aku. Berdosanya aku. Bicara hati Salwa berusaha menahan sedu. Seboleh-boleh Salwa mengelak daripada sebarang bunyi keluar melalui mulutnya. Bimbang jika emaknya dapat mendengar. Pasti itu bukan hanya sekadar melukakan hati emaknya, malah dirinya juga.
“Awa.. Raya ni Awa balik, ye? Sebab tu Awa telefon mak, kan? Lemang jagung! Nanti.. mak suruh abah pesan dekat Adib minta buatkan lemang jagung kesukaan Awa, ye. Awa mesti teringin makan lemang jagung, kan. Mak bagitahu abah sembelih itik sekali. Boleh mak buat rendang itik pucuk maman. Awa suka semua tu, kan? Balik ye, sayang. Mak rayu sangat ni. Mak rindu Awa...”
Klik.
Panggilan cepat-cepat dimatikan. Ayat terakhir luahan emaknya betul-betul merobek hatinya. Sungguh Salwa tak kuat kali ini. Mendengar rintihan emaknya membuatkan hatinya makin tersiat-siat pilu. Tegarkah dia sebagai seorang anak membiarkan emaknya terus-terusan merayu memujuknya untuk pulang? Membisu. Hanya itu tindakan yang mampu dilakukan tika ini.
“Salwa pun rindukan mak... Maafkan Awa, mak. Maafkan Awa...” hatinya berkutik perlahan. Membawa bersama gelora rindu yang kian membengkak.

******


Hajah Som masih lagi kaku berdiri di sebelah telefon. Gagang telefon masih setia melekap ke telinganya meskipun nada talian diputuskan membingitkan telinganya kini. Hati ibunya cukup yakin yang panggilan tadi datang daripada Salwa, anaknya. Meskipun hanya satu ayat yang keluar daripada suara itu tadi. Dia tidak pernah lupa akan suara Salwa. Sikit pun tidak pernah walau sedetik.
“Dah kenapa awak tercegat dekat situ? Dah macam patung cendana dah saya tengok.”
Suara parau suaminya, Haji Saleh mematikan ingatannya pada panggilan tadi.
“Salwa bang...”
“Salwa? Kenapa dengan budak tu?” Berkerut wajah Haji Saleh tatkala mendengar sepotong nama yang telah lama mati dalam memorinya. Sedikit rasa terkejut apabila nama itu kembali muncul di dalam rumahnya.
“Salwa telefon tadi, bang. Som tau, tu suara Awa,”
Haji Saleh hanya membisu. Langkahnya dibawa ke sofa di ruang tamu. Hajah Som cepat-cepat membontoti suaminya. Punggungnya dilabuhkan ke sofa bersetentang dengan suaminya.
“Salwa diam je tadi. Tapi Som tau, dia dengar semua yang Som cakap. Agaknya dia nak beraya sekali dengan kita tahun ni kut, kan abang? Ya Allah, seronok rasa hati Som ni.” Tak putus-putus senyum terukir dibibir Hajah Som.
Haji Saleh masih lagi membisu. Tangannya menarik surat khabar di bawah meja kopi di hadapannya. Cuba mengawal rasa hati yang bergolak dengan pelbagai rasa. Satu persatu helaian akhbar diselak. Namun satu pun tidak dapat menarik perhatiannya.  
“Som ingat kan bang, Som nak masak rendang itik. Tambah dengan pucuk maman. Awa suka semua tu. Nanti abang tolong sembelih itik lebih sikit ye, bang. Mesti bertambah-tambah tu nanti Awa makan. Takut tak cukup pulak kalau seekor je nanti.” Sesekali dijeling reaksi Haji Saleh di hadapannya. Hampa.
Haji Saleh seperti tadi. Diam sambil tangan sibuk menyelak satu persatu akhbar di tangan. Ada ketika matanya lama menatap isi akhbar. Seolah-olah ada berita yang lebih menarik daripada cerita yang hendak disampaikan isterinya. Walaupun dia gagal berbuat sedemikan sebenarnya.
Hajah Som menyambung kata. Cuba memancing minat suaminya untuk berbalas kata, “Som ingat nak minta Adib bakarkan lemang jagung kesukaan Awa. Adib je yang tahu lemang macamana yang Awa suka. Tak mahunya nanti Awa nak jamah kalau orang lain yang bakar.”
“Jangan awak pandai-pandai nak libatkan Adib. Awak lupa apa yang budak bertuah tu dah buat pada Adib?” Haji Saleh memotong. Makin panas hatinya mendengar cadangan yang agak melampau isterinya itu. Akhbar di tangan dicampak ke tepi.
“Sampai bila abang nak macam ni? Nak buang anak sendiri?”
“Dia yang buang diri dia sendiri!” Cepat-cepat Haji Saleh mencelah. Kurang senang dengan tuduhan isterinya.
Hajah Som menelan liur. Terkejut dengan herdikan suaminya. Mungkin salah dirinya juga atas kelancangan kata sebentar tadi. Bukan dia tidak kenal suaminya. Pantang nama anak sulungnya, Salwa disebut. Pasti suasana yang sebelumnya damai berubah rentak.
“Som dah penat menunggu Salwa, abang. Hari-hari Som doa suatu hari Awa muncul depan pintu tu. Hati Som ni bagaikan mati selagi tak nampak Salwa depan mata Som. Sembilan bulan, bang. Sembilan bulan Som heret dia dalam perut ni. Biar buruk sekali perangai dia, Salwa tetap anak Som. Tolonglah faham Som, abang...”
Haji Saleh bangkit. Sekeras-keras hatinya, tetap tidak sampai hati mendengar luahan hati isterinya yang selama ini terpendam tak terluah. Bukan dia tidak sedar akan penderitaan rindu dendam isterinya pada Salwa. Dia belum buta lagi. Dia tahu itu semua. Namun, kerana penderitaan yang tak tertanggung isterinya itulah juga yang membuatkan hatinya keras untuk menerima bulat-bulat segala tindakan anak sulungnya itu.
“Tolong jangan sebut lagi nama Salwa...” Sempat Haji Selah memberi amaran sebelum melangkah keluar.
Hajah Som hanya mampu memandang sayu. Seperti tidak menyangka sekeras itu hati suaminya.
Tanpa disedarinya sendiri, dalam diam, ada mata yang memandang dan telinga yang mendengar setiap babak perbualan mereka suami isteri tadi.

******
(sambungan plot seterusnya)

Bunyi motor menghala ke arah halaman rumah menarik perhatian Suraya. Lantas dia menjengah ke tingkap. Dari situ dapat dilihat suaminya Adib menongkat motorsikal. Sepemeluk buluh lemang dipikul Adib dan dibawa ke bangsal yang hanya berbumbung tanpa berdinding berhampiran rumah mereka.
Setiap tahun menjelang hari raya, memang bangsal tepi jalan itu akan dikemaskan untuk digunakan sebagai kawasan membakar lemang. Membakar lemang sememangnya kemahiran Adib. Lemangnya mendapat sambutan yang tinggi di kampung mereka. Ramai yang memuji lemang yang dibakar Adib dikatakan lembut, cukup lemak serta rasanya.
Pelanggan Adib bukan setakat penduduk kampung. Malahan pembeli daripada luar turut singgah membeli memandangkan rumah mereka terletak di tepi jalan besar. Mudah untuk pembeli singgah. Tambahan pula semenjak Adib menggantung ‘banner’ tertulis ‘Lemang Warisan Adib’ di bangsal mereka. Pasti ada sahaja kereta yang berhenti membeli sebatang dua. Kadang-kadang ada yang membuat tempahan awal. Lagi-lagi bila musim rumah terbuka. Tak menang tangan mereka suami isteri ketika itu. 
Suraya melangkah perlahan menghampiri suaminya.
“Banyak buluh kali ni, bang. Abang cari sorang-sorang je ke tadi?” tegur Suraya.
“Taklah. Abang buat dengan Din Sengau tadi. Bagilah sikit upah dekat dia. Bolehlah.. Buat dia beli juadah berbuka nanti. Suka sangat dah dia,” beritahu Adib mengukir senyum sekilas buat Suraya. Tangannya rancak membersihkan satu persatu buluh lemang yang ada.
Suraya tersenyum pendek mendengar. Din Sengau. Nama itu memang cukup sinonim disebut di kampung mereka. Walaupun Din Sengau memiliki kekurangan, lagi-lagi bila bercakap. Agak sedikit sengau bunyinya, namun Din Sengau cukup baik budaknya. Kadang-kadang saat mereka mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan, pasti Din Sengau akan ringan tulang membantu. Harapkan mereka berdua memang tidak menang tangan.
“Ada ke jagung yang abang minta tolong beli tadi?”
“Ada, bang. Aya dah beli seplastik tadi. Cuma mahal sikitlah. Kata penjual tu, permintaan tinggi. Jagung pulak tak berapa menjadi,”
“Sekarang mana ada benda yang murah, Aya. Usahkan duduk dekat bandar. Kita yang dekat kampung ni pun dah terasa. Duit laju mengalir macam air. Mujur sekarang dah nak raya. Bolehlah membantu sedikit sebanyak bisnes lemang kita ni. Nak harapkan upah abang buat kerja-kerja kampung ni, berapalah sangat,” ulas Adib panjang lebar.
“Abang nak buat apa dengan jagung-jagung tu? Nak buat lemang jagung ke?” soal Suraya mahukan kepastian.
 “Ye, lah. Takkanlah abang nak buat jagung rebus,” gurau Adib. Seraya tersenyum.
 “Lama abang tak buat lemang jagung. Semenjak...”
 “Abang terdengar hari tu mak cakap teringin nak makan,” pintas Adib pantas. Dia tidak mahu Suraya menaruh sebarang syak padanya.
 “Oh...” Suraya membalas pendek. Meskipun begitu, hatinya masih ragu-ragu dengan jawapan Adib. Cuma dia tidak mahu melayankan sangat perasaan yang tidak pasti.
“Aya masak apa hari ni?” Adib berbasa basi. Cuba mengalihkan topik bicara. Bimbang jika Suraya dapat menangkap sesuatu yang tidak enak. Sedaya upaya awal-awal lagi Adib cuba mengelak.
“Masak simple je, bang. Gulai rebung madu dengan ikan masin kurau. Mak ada bagi kuih tepung bungkus tadi. Cukuplah kut untuk kita berbuka nanti,”
“Sedap tu. Mau bertambah abang makan tu nanti. Nampaknya susah jugak lah nak surut perut ni nanti, dah makin ke depan sangat dah ni,” giat Adib sambil menepuk-nepuk perutnya.
“Ada-ada je abang ni. Aya naik atas dulu ye. Nak sediakan apa yang patut. Dah nak masuk waktu berbuka dah ni. Abang jangan lupa mandi dulu. Nanti gatal-gatal badan melekat miang buluh tu,” Sempat Suraya berpesan sebelum beredar.
Adib mengangguk perlahan. Dia hanya memerhatikan langkah Suraya hingga bayang isterinyanya hilang daripada pandangan. Satu keluhan berat dilepaskan. Adib meneruskan kerjanya meskipun akalnya kini begitu memberat dengan seribu macam kecelaruan.
******
Dari jalan besar lagi Salwa nampak sekitar rumahnya dipenuhi tetamu. Sebuah khemah terpacak megah di halaman rumahnya. Eh, ada kenduri. Luar biasa. Patutlah mak paksa balik juga minggu ni. Telah hatinya.
“Haaa... Salwa... Sampai dah pun. Apa yang dok tercegat lagi depan pintu tu? Cepat bersiap masuk bilik lekas. Aya... bawa kakak kamu ni ke bilik. Masa dah suntuk sangat ni,” Kecoh Hajah mengarah.
Salwa masih terpinga-pinga. Namun langkahnya diheret juga mengikut Suraya ke bilik. Tidak cukup dengan pemandangan di luar yang menimbulkan seribu persoalan, kini dia dikejutkan dengan satu pandangan yang cukup asing. Bilik tidurnya telah berubah rupa. Katilnya kini dihiasi dengan cadar sutera beropol berwarna ungu biji remia. Langsir biliknya juga dipasang senada dengan warna hiasan katilnya cuma agak cair sedikit warnanya. Memberi tona sedikit menyerlah pada sekitar katil. Tak ubah seperti bilik pengantin.
“Nah, baju akak. Dah tukar nanti, akak panggil Aya, ye. Nanti Aya solekkan kak Wa bagi naik seri,” ujar Suraya. Sepasang persalinan merah jambu lembut dihulur padanya.
“Baju apa ni?” soal Salwa. Fikirannya masih belum dapat lagi mencerna apa yang sedang berlaku sebenarnya.
“Eh... Baju tunang kak Wa, lah. Dah gaharu cendana pulak la kak Wa ni,” seloroh Suraya sambil tersengih.
“Haa? Tunang? Dengan siapa?” Wajah Salwa sudah berubah rona. Berita itu betul-betul memberi kejutan yang besar padanya.
“Peliklah soalan Kak Wa ni. Akak demam ke?” Suraya melabuhkan jemarinya ke dahi Salwa. Seolah-olah merasa suhu badannya. Salwa cepat-cepat memegang pergelangan tangan Suraya. Kejap.
“Dengar sini Suraya. Akak tak main-main. Akak buntu dengan apa yang terjadi sekarang ni. Aya cakap tadi akak hendak ditunangkan? Dengan siapa? Beritahu akak, Suraya!” tegas Salwa. Giginya diketap geram. Salwa cuba menahan lontaran suaranya agar ia hanya didengari mereka berdua sahaja.
“Abang Adib...” ringkas Suraya membalas.
Salwa terpempan. Jawapan Suraya benar-benar tidak diduganya. Perlahan-lahan lengan Suraya dilepaskan. Suraya mengusap-usap pergelangan tangannya yang mula memerah. Dia sendiri terkejut dengan reaksi yang ditunjuk kakaknya.
Salwa betul-betul tidak dapat jangka sejauh ini Adib bertindak. Silap dia juga kerana ambil mudah dengan gurauan Adib minggu lepas. Sedangkan Adib ada menghubunginya dan berkias tentang perkara ini. Namun Salwa hanya pandang ringan. Padanya Adib sekadar bergurau. Disangkanya dia lebih mengenali Adib. Ketika bila Adib berbicara serius atau sebaliknya. Namun segalanya tersasar.  
“Laaa... budak-budak ni. Kenapa tak siap lagi ni?” tegur Hajah Som di muka pintu.
Salwa menelan liur yang mula memekat. Otaknya tidak dapat berfungsi dengan baik ketika itu. Hanya satu sahaja perkataan yang ada dalam fikirannya. Batal. Ya, dia perlu batalkan majlis ini.
“Mak... Batalkan semuanya...”
“Salwa... Awa cakap apa ni?” Terkejut Hajah Som mendengar permintaan yang keluar daripada mulut Salwa.
“Awa tak nak bertunang dengan Adib, mak. Awa tak cintakan Adib. Adib hanya kawan baik Awa. Macamana Awa nak anggap dia lebih daripada tu? Awa langsung tak terfikir nak anggap Adib lebih daripada seorang teman baik!” hujah Salwa tegas.
“Salwa... mak rayu tolong jangan buat macam ni, nak. Adib selama ni baik dengan Awa, kan. Mak sangkakan kamu berdua bercinta. Ya Allah.. kenapa jadi macam ni?” Hajah Som memegang dadanya. Laju jantungnya mengepam. Bagaikan hendak pecah setiap salur jantungnya. Peluh mula merenik di dahi. Dia benar-benar buntu dengan situasi tercetus kini.
“Percayalah mak. Awa dengan Adib hanya kawan baik. Sayang Awa pada Adib hanya sayang sebagai seorang sahabat. Lagipun...” kata-kata Salwa terhenti seketika. Seakan tersekat kerongkongnya untuk meneruskan bicara.
“Lagipun apa Salwa?” Bicara Salwa yang terputus-putus itu benar-benar menggugat kesabaran hati Hajah Som.
“Salwa dah ada pilihan hati sendiri. Kami dah janji akan berkahwin dalam masa terdekat. Lagipun, Awa balik ni memang niat nak bagitahu mak dan abah tentang hubungan kami.”
“Siapa?”
“Pensyarah Salwa. Mr. Stevan Lee,” beritahu Salwa perlahan. Namun cukup jelas pada pendengaran Hajah Som dan Suraya.
“Kamu nak jadi kafir ke Salwa?” Merah muka Haji Saleh. Seolah-olah menahan lahar marahnya yang bila-bila sahaja akan meletus. Entah sejak bila Haji Saleh berada di muka pintu bilik itu tidak disedari mereka. Suara garau Haji Saleh itu benar-benar mengejutkan mereka bertiga.
“Tapi Stevan janji dia akan masuk Islam, abah.” tempelak Salwa. Masih cuba merayu.
“Belum ada lagi keturunan aku yang menconteng arang ke muka aku. Aku nak kau bertunang dengan Adib. Hujung bulan ni kahwin. Muktamad!” Haji Saleh memberi kata putus sebelum beredar.
“Mummy...”
Panggilan anak kecil itu mematikan segala memori Salwa lima tahun lepas. Hilang terus bayang peristiwa yang telah membawa rajuk hatinya jauh ke bumi Kangaroo ini. Hanya Lautan Hindi yang memisahkan jarak antara dia dan keluarganya.

Aimara Sofea. Satu-satunya cinta hati yang ditinggalkan Adam Stevan Lee buat Salwa. Anak comel itu dipeluk erat. Biar apa sekalipun, Aimara Sofea itu perlu dipertahankan. Anak ini perlu diberi perlindungan dan hak penjagaan yang sewajarnya. Itu janji yang telah dibuat Salwa bersama Stevan suatu ketika dahulu. Janji itu akan tetap dipegang selagi dia masih utuh bernafas.
(Sambungan seterusnya akan diupload secepat mungkin. Terima kasih atas kesabaran semua.)

Hak Cipta Terpelihara
Tidak dibenarkan mana-mana bahagian daripada penulisan ini ditulis semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan kepada bentuk lain, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman, atau lain-lain tanpa kebenaran bertulis daripada penulis terlebih dahulu. Penulis berhak atas setiap tulisan dan karyanya.

#terimakasihsudisinggah

Comments

  1. Sila buat sambungan cepat ea, ubati rasa ingin tahu pembaca haha siapa Adam Stevan, Adib knal x dia? haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Iqwan sudi baca.. tapi den cadang sambungan dia nak buat utk kumpulan cerpen den nanti.. InShaa Allah dalam tu nanti akan ada sambungan ni.. anyway thanks tau baca sampai abes.. 😄

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kembang Semangkuk Petua Orang Lama

KL Sentral > Padang Besar ... Bestnya Naik ETS!

Resepi : Cucur Badak Lembut dan Sedap