Cerpen Raya EH : Hikayat Ketupat Cinta

Assalamualaikum & salam sejahtera uols,

Cerpen raya EH kembali lagi! Kalau tahun lepas aku bawakan cerpen raya yang sedih-sedih, membawa duka & pilu, kali ni aku nak tukar genre pula. Aku taknak terlalu bermain dnegan emosi pembaca. Tak syoklah raya cerita sedih, kan? Raya untuk kita bergembira, raikan kemenangan buat umat Islam. Selain kemenangan menahan diri daripada makan dan minum, juga kemenangan dalam mengawal nafsu dan melakukan amal kebaikan selama sebulan sepanjang bulan Ramadan. 

Jadi, aku create cerita khas genre komedi cinta pulak. Sebelum ni, aku boleh buat orang menangis apabila baca karya aku, InShaa Allah. Tapi, nak buat orang gelak tu bukan senang, tau. Aku harap, cerpen kali ini dapatlah buat korang senyum sepanjang masa. Kalau tak gelak guling-guling pun, adalah tercuit sengih sikit kat bibir tu. Ok, selamat membaca. Selamat menempuhi alam warna-warni cinta dan kasih sayang bersama Raudhatul Aisy dan Fil Danial di dalam Hikayat Ketupat Cinta. Kisahnya bermula di sini... 



HIKAYAT KETUPAT CINTA OLEH EZZAN HAQIS

“Baju abah, done. Baju mak, done.” Aisy senyum puas hati. Mana-mana yang telah selesai akan ditanda pada kertas checklist yang telah awal-awal lagi disediakan. Senang. Tak perlu susah payah nak ingat. Cheklist tu amat mudah untuknya. Lagi-lagi orang suka buat kerja saat-saat akhir sepertinya. Penting sangat. Kalau tak, mesti ada saja yang tertinggal.
“Ni dah settle?” Jannah, adik kembarnya menyoal. Nama saja kembar. Tapi memang tak seiras langsung. Agaknya sebab itulah tak ada satu pun persamaan perangai antara mereka. Bukan setakat itu sahaja, malah mereka juga bukanlah pasangan kembar yang serasi bersama. Ada sahaja yang nak dibahaskan.
“Dah. Angah bawa masuk yang tu dulu. Yang ni jangan sentuh lagi. Along belum catat,” arah Aisy.
Jannah mengikut seperti apa yang diberitahu Aisy. Barang-barangnya awal-awal lagi dah dimasukkan ke dalam kereta. Kalau ada pun tinggal sikit saja lagi. Itupun barang-barang yang perlu dimasukkan kemudian. Jannah tidak seperti Aisy. Dia lebih suka mengemas awal. Malas dia nak buat checklist semua tu. Menyusahkan sahaja baginya. Yang penting padanya kalau dah kemas awal-awal, mesti tak ada apa yang tertinggal.
“Kuih raya... 1, 2, 3, 4... Eh, mana lagi satu?” omel Aisy perlahan. Pelik, kalau tidak silap dia, sepatutnya ada lima balang.
Aisy nampak Jannah sibuk menjinjit baju yang siap bergosok. Jannah memang suka gosok baju siap-siap dari rumah. Nanti malas nak menggosok dekat kampung. Baru ada feel balik kampung kalau dah siap gosok dari sini, katanya. “Angah! Kuih sepatutnya ada berapa balang?”
“Lima. Kenapa, Long?”
“Macam tak cukup aje ni...betul lima?” soal Aisy lagi. Memang dia rasa lima. Tapi masalahnya sekarang balang kuih tak cukup lima. Kalau balang tak cukup, bermakna kerja Jannahlah ni. Bukan Aisy tak kenal Jannah. Si hantu kuih raya.
“Kan kau punya tiga balang, Angah pula beli dua balang. Cuba check betul-betul,” ujar Jannah. Faham sangat dia dengan Aisy. Kalau dah last minute macam ni memang cepat menggelabah. Kadang tu, benda depan mata pun Aisy boleh tak perasan.
“Dah kira dah. Memang tak cukup.”
Jannah mampir malas ke arah Aisy. Baju raya siap digosok yang tersangkut kemas tadi, diletak dengan cermat pada sofa di ruang tamu. Seplastik kelongsong ketupat yang turut dijinjitnya tadi diletak pula di atas lantai, berhampiran pakaiannya.
“Apa yang tak ada? Angah punya cukup aje dua balang ni. Along punya la tu tak cukup. Kau beli kuih apa aje?”
“Tat, kuih bangkit... biskut Arab. Hah! Biskut Arab yang Along buat tu mana?" Aisy memandang tajam Jannah. Dari awal lagi dia agak, mesti kerja Jannah.
“Eh... kau tanya Angah pulak? Mana Angah tau.”
“Betul kau tak habiskan?”
“Ish, kau ni. Angah kalau makan pun depan Along, kan? Mana ada sembunyi-sembunyi.” Bengang pula rasa hati Jannah apabila dia yang jadi suspek utama Aisy. Memanglah dia hantu kuih raya. Tapi tak adalah sampai habiskan semuanya. Lagipun Aisy dah bagi amaran awal-awal. Kalau nak makan, tinggalkan sebalang untuk bawa balik kampung. Mak suka, kata Aisy. Jannah sendiri tak tergamak nak makan bahagian emaknya.
“Ala... meh la tolong Along cari kejap,” pujuk Aisy menagih simpati.
"Isshhh.. kau ni Long. Kecoh betul," bebel Jannah. Bengang pun iya sebenarnya. Dahlah tadi main tuduh-tuduh dia. Ni tahu pula minta bantuan dia. Nak tak nak, dia bantu sama mencari. Itupun kenangkan sebab nak kejar masa aja. Kalau tak, mesti lagi panjang nak dia bebelkan pada Aisy sebelum setuju nak menolong.
“Long, cuba kau ingat balik, kau letak dekat mana ni?” Jannah duduk kepenatan. Satu dapur dah mereka cari. Tak cukup dapur, ruang tamu pun dah diselongkar. Balang biskut Arab langsung tak jumpa. Bukan setakat balang. Serdak biskut pun tak nampak bayang. Padahal rumah mereka ni tak adalah besar mana pun. Lagipun kemas tersusun. Sepatutnya tak adalah susah macam tu sekali mencari.
Aisy tersandar kepenatan disebelah Jannah. Cuba memutar kembali memori. “Kejap. Along rasa along tau kat mana.”
Aisy tersengih memandang Jannah. Namun disambut jelingan Jannah. Seperti tidak puas hati.
“Angah, kau bawa masuk barang-barang lain dalam kereta. Along nak masuk ambil biskut Arab tu kejap. Dah tahu kat mana. Terima kasih Angah sayang.” Aisy cium pipi Jannah. Pantas dia berlari menuju ke biliknya. Dia yakin sangat benda yang dicarinya ada dalam bilik tu.
"Ish... kau ni macam-macamlah, Long. Cepat sikit. Dah lambat dah ni. Nanti tak sempat nak sampai RnR. Tak pasal sahur dengan biskut raya aje kita ni nanti. Dahlah tak beli apa-apa makanan ni."
“Yelah...”
Jannah capai kembali baju yang telah digosok tadi. “Alaaa... dah kedut dah tudung ni. Ni kau la ni, Long. Elok-elok tadi angah bawa punyalah cermat. Dah kedut dah ni.”
Aisy terhenti di pintu bilik menjengah sedikit. Nampak Jannah menghampirinya. Sambil menepuk-nepuk tudung yang tersangkut. “Sikit aje pun kedut tu. Cerewet sangatlah kau ni, Angah. Nanti Along gosokkanlah kedut yang segaris tu.”
“Janji?”
“Yelah... masuk ajelah dalam kereta dulu. Banyak cakaplah kau ni, Angah.” Aisy menolak lembut Jannah. Mendorongnya untuk beredar dari situ.
Usai sahaja Jannah keluar, Aisy menonong menuju ke kabinet sisi di tepi katil. Pintu kabinet dibuka. Bercahaya matanya apabila nampak sahaja kelibat balang biskut Arab yang dicarinya.
 Aisy tersenyum lega. Mujur Jannah tak tahu dekat mana disorokkan balang tu. Kalau tak, jenuh dia kena bebel. Dia sorokkan sebab Jannah juga. Sengaja disorokkan daripada Jannah. Kalau tak, memang selamat biskut tu masuk dalam perut Jannah. Tak sempat nak tunjuk hasil dekat maknya. Yelah, biskut Arab ni hasil air tangannya sendiri. Pertama kali pula tu dia buat. Ikut resepi emaknya. Jadi, kenalah bagi emak & abahnya rasa. Sebab itulah dia bersungguh sembunyikan balang terakhir ni. Nak sorok sangat, dengan dia sendiri lupa dekat mana disimpannya. Padan muka kau, Aisy. Kutuknya sendiri.
“Along! Cepatlah... kau buat biskut Arab ke lama sangat kat dalam tu?” Jannah menjerit memanggil dari luar.
“Ye... ye... I’m coming...” Aisy berlari ke pintu. Pintu rumah dikunci sempurna. Sempat dia membaca doa keluar rumah sebelum masuk ke kereta. Pesanan emaknya tidak pernah sekali dilupa. Sebelum keluar rumah, wajib baca doa. Lagi-lagi kalau rumah hendak ditinggalkan dalam jangkamasa yang agak lama. Selebihnya tawakal pada Allah. Mudah-mudahan dijaga segalanya dengan baik.
Confirm semua dah bawa masuk ke?” ajunya pada Jannah. Bukan apa, Aisy macam tak sedap hati. Macam rasa ada benda yang tertinggal lagi. Tapi malas nak layankan sangat hatinya yang sentiasa ragu-ragu ni.
“Jangan risau. Ni Angahlah. Semua ditanggung beres, bossku,” gurau Jannah.
“Dah... tak payah nak puji lebih-lebih. Sekarang ni, jom jalan cepat. Nanti ada pula orang tu membebel cakap bersahur dengan biskut raya.”
Jannah tergelak. Sempat dia mencubit manja peha Aisy. Walaupun mereka sering berselisih pendapat, gurau senda masih menghiasi warna-warni kehidupan mereka. Kereta mereka meluncur laju di atas jalan membawa bersama semangat beraya yang meronta dalam diri.
******

Sedari tadi telefon tidak berhenti berbunyi. Fil sekadar menjeling melihat dengan ekor mata nama yang tertera pada skrin peranti itu. Nama untuk menjawab panggilan memang langsung dia tidak berminat.
Matanya kembali memandang ke luar. Fil lebih berminat memandang pemandangan di luar yang penuh dengan barisan kereta yang berbaris panjang di atas lebuh raya berbanding menjawab panggilan itu. Waktu-waktu sebegini dirasakan pandangan itu satu pandangan yang amat bermakna sekali.
“Kau ok ke ni nak beraya rumah aku?” Hakeem yang sedari tadi menjadi pemerhati kelakuan teman di sebelahnya mula bersuara.
“Ok aje,” pendek jawpan yang diberi Fil sebelum melepaskan sebuah keluhan yang terdengar sedikit berat.
Hakeem memandang Fil sekilas. Bukan dia tidak perasan bagaimana keadaan Fil. Sepanjang perjalanan ke kampungnya, Fil sekadar termenung panjang. Penat termenung, Fil mengeluh. Itu belum masuk lagi telefon Fil yang asyik berbunyi. Sampai Hakeem sendiri tak terkira telah berapa kali telefon itu berbunyi, Nama untuk Fil hendak angkat, memang tidaklah. Kadang dia sendiri rasa rimas dengan situasi yang terlihat agak janggal dimatanya. Sedikit sebanyak terganggu pemanduannya.
Hendak ditegur kelakuan Fil, tak sampai hati. Simpati pula yang timbul. Kalau dia dicampak di tempat Fil sekarang ni pun, mungkin dia juga berkelakuan macam Fil. Siapa tak sedih kalau emak dan ayah berpisah dua hari sebelum menyambut lebaran. Lagi-lagi Fil anak tunggal. Nak mengadu pada siapa pun tak tahu.  
Walaupun Fil dimanjakan neneknya yang dipanggil Uwan, tapi buat masa sekarang ni mungkin bukan waktu yang sesuai untuk temannya itu mengadu kasih pada Uwan. Lagipun, Fil ada mengadu pada Hakeem yang Uwannya sedang sibuk mencarikan jodoh buatnya. Hekeem kenal sangat dengan Fil. Fil bukan suka bila dikongkong sebegitu. Lagi-lagi soal jodoh ni. Memang bawa hati yang laralah temannya tu.
Sudahnya Fil ambil keputusan mengikut Hakeem balik ke kampungnya. Hakeem pun tak kisah. Lagi dia suka. Ada juga teman nak dibawa berjalan raya ni. Lagi-lagi Hakeem bercadang nak beraya rumah tunangnya. Tak adalah nanti dia terkulat-kulat seorang menghadap keluarga tunangnya nanti.
“Kalau kau rindu dia orang, cakap kat aku. Sempat lagi nak patah balik ni. Ataupun kau nak beraya rumah Uwan kau? Aku boleh je hantar kau ke sana. Sehaluan aje ni. Aku boleh aje drop by,” cadang Hakeem. Risau sungguh dia melihat temannya itu. Manalah tahu, Fil memang nak beraya dengan keluarganya sendiri tapi malu nak bersuara.
Fil menggeleng perlahan. “Aku ok la. Kenapa? Ke kau tak nak aku beraya dengan kau?”
“Tak adalah. Itukan cadangan. Aku tanya aje. Tengok kau tu dok termenung memanjang. Macam ayam berak kapur dah aku tengok. Risau aku.”
Tak sempat Fil membalas, telefon di tangannya kembali berbunyi. Dan seperti biasa Fil sekadar memendang sepi. Tiada tanda-tanda untuk menjawab.
“Angkatlah, Fil. Penat aku dengar bunyi telefon tu daripada tadi. Mana tahu ada emergency ke?”

“Bukan emergency pun,” balas Fil perlahan sebelum membelek telefon dan mengubah ke mod senyap. Fil tahu, itu bukan panggilan kecemasan. Dia cuma tidak menjawab panggilan, tapi dia masih membaca text pesanan daripada aplikasi mesej dan whatsapp.  
Kadang whatsapp pun dia malas nak jengah. Mana tidaknya, semua whatsapp berbaur kekecewaan. Baik emak , ayah mahupun uwannya mementingkan diri sendiri. Berebut-rebut masing-masing hendak minta dia balik beraya. Seorang minta dia ke Utara. Seorang ke Selatan. Seorang lagi ke Barat. Sudahnya dia yang tersepit ditengah-tengah. Tak tahu nak beraya dengan siapa.
Sedih pun iya juga. Tengok keluarga orang lain elok aje bahagia. Cemburu sungguh hatinya. Fil tak sangka yang Syawal kali ni, merupakan Syawal yang paling menyedihkan. Dah serupa anak yatim dirasakan dirinya. Menumpang kasih beraya dengan keluarga orang lain.  Dah mak, ayah, Uwan pentingkan diri sendiri. Dia juga punya hati, punya perasaan.
Kalau mereka boleh membuat keputusan masing-masing tanpa pernah mengambilkira hatinya, Fil juga telah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri. Dan keputusannya beraya bersama Hakeem balik ke kampungnya. Mujur ada Hakeem.
“Kau bawa apa untuk tunang kau nanti?” sengaja Fil berbasa basi. Selebihnya dia malas hendak memikirkan masalah yang dihadapi.
“Bawa diri aje.” Hakeem tersengih menjawab sebelum menyambung, “Lagipun, tunang aku tu cerewet sikit. Pening aku nak fikir bawa apa.”
“Untuk keluarga tunang kau? At least bawalah sesuatu untuk dia orang”
Hakeem sengih lagi. “Aku gurau ajelah tadi. Pandailah nanti aku ambil sikit rendang ke, lemang ke, ketupat ke, dari rumah mak aku nanti.”
Fil tersenyum sungging.
“Alamak! Sebut pasal ketupat, baru aku ingat. Mak aku kirim suruh bawa sarung ketupat dari sini. Aku betul-betul lupa nak beli ni. Kau agak, ada lagi tak kalau aku cari kat pasar kejap lagi?” Hakeem memandang sekilas Fil disebelahnya. Memohon pandangan.
“Entah. Kenapa kau tak cakap awal-awal? Kalau tak, boleh aku anyam.”
Berkerut dahi Hekeem mendengar jawapan temannya itu. “Kau pandai anyam ketupat? Kenapa aku tak tahu?”
Fil tersenyum pendek. “Tengok tanganlah...”
“Mana kau belajar?”
“Uwan... Uwan aku yg ajar...” Fil menunduk. Telefon di tangan dibelek.
“Okay, tak payah kita buat cerita sedih. Kita chill aje, okay. Sekarang ni nak anyam memang tak sempat. Nanti aku trylah singgah pasar kut ada lagi ke orang jual sarung ketupat last minute. Harap ada rezekilah.”
“Tak apalah. Biar aku aje yang beli. Aku pun macam berlenggang aje ni datang rumah orang. Dahlah menumpang. Buah tangan haram tak bawa.”
“Tau pun.” Hakeem ketawa besar. “Tak adalah. Aku gurau aje pun. Tak apa, Fil. Kau jangan risau sangat. Mak aku okay aje. Tapi kalau kau beli pun bagus juga. Jimat sikit duit aku.”
Okay then, all on me,” Fil membalas. Tersenyum kecil. Sedikit sebanyak, terubat juga hati yang sedang berduka. Pada Fil, Biarlah dia berbudi pada yang lebih sudi, yang lebih faham akan dirinya.
******

Berlalulah sudah Ramadan,
Sebulan berpuasa...

Lagu raya berkumandang di corong radio. Jannah menyanyi dengan penuh semangat. Usai sahaja sahur tadi, matanya punyalah berat. Dah berapa kali dia menguap. Kadang ditampar-tampar lembut pipi mulusnya dengan harapan rasa mengantuk tu hilang. Ini gara-gara bersahur dengan nasi lemaklah ni.
Tadi ada juga Aisy offer hendak tukar memandu. Jannah juga yang berdegil kata boleh lagi ni. Sudahnya sekarang ni dia sendiri rasa menyesal. Dijeling sekilas Aisy disebelah. Dah selamat terlentok. Entah ke mana dah sampai pun Jannah tak pasti.
Jannah memutar volume radio. Lagi kuat, lagi bagus. Tak adalah dia asyik tersengguk-sengguk memandu. Nak mengunyah-ngunyah, bulan Ramadan pula.
Aisy terjaga. Terkejut dengar suara kuat menjerit daripada radio. Dahlah dia pening kepala. Aisy agak, mesti sebab bersahur dengan mihun sup tadi. Banyak sangat bahan perasa agaknya. Itu yg berat semacam kepala dia. Aisy memang sensitif sikit kalau ada serbuk perasa yang diletak secara berlebihan. Memang beratlah kepalanya. Bulan puasa pula tu. Kalau bulan lain dah tentu dia boleh telan ubat.
“Apa buka kuat-kuat sangat ni, Angah? Bingitlah...” Aisy menegur. Namun matanya masih lagi berat hendak dibuka.

Anak muda dirantauan,
Semuanya pulang ke desa...

Jannah buat tak dengar. Masih khusyuk ikut nyanyi.
Aisy bengang. Tangannya laju memperlahankan tombol radio. Volume kembali normal. Lega hatinya. Dahlah kepala sakit, lagi sakit dengar radio yang memekak. Itu belum lagi masuk suara Jannah yang sedap sikit daripada suara katak panggil hujan.
Jannah terkesan juga dengan perbuatan Aisy itu. Tapi dia tetap teruskan nyanyiannya. Mata dah betul-betul mengantuk sangat ni. Nama nak berhenti menyanyi memang tidaklah. Itu saja hiburan yang dia ada buat layan rasa kantuknya.

Kuih dan muih beraneka macam,
Makanlah jangan hanya dipandang..
Ketupat rendang..... Allah!

Aisy yang tadinya malas nak layan Jannah, terkejut dengar Jannah menjerit. Hilang terus peningnya. Diganti pula dengan debaran. “Dah kenapa, Angah?”
Jannah diam. Tak menjawab. Tiba-tiba kereta yang dipandunya perlahan-lahan menuju ke lorong kecemasan. Kereta terhenti di situ. Jannah pantas menoleh ke seat belakang. Matanya liar meninjau. Jelas nampak di bebola matanya hanya balang kuih raya dan pakaian raya yang siap digosok bergantungan di situ.
Dia menarik tombol boot kereta. Pintu dibuka setelah rasa selamat untuk keluar. Berlari dia membuka boot. Meninjau dan memunggah seperti mencari sesuatu. Aisy terpinga-pinga. Ikut keluar sama. Dia sekadar menjadi pemerhati. Dia sendiri tak faham, apa yang sedang dicari Jannah.
“Kau cari apa, Angah?”
Jannah sekadar menggeleng. Wajahnya sedikit pucat. Boot kereta ditutup kembali dan dia masuk semula ke perut kereta. Aisy yang kebingungan bekejar juga masuk ke kereta. Kereta kembali dihidupkan dan Jannah memulakan kembali pemanduan yang tergendala seketika tadi.
Aisy tak puas hati. Bingung dengan situasi tadi. Jannah disebelah dikerling. Kali ini Jannah nyata lebih banyak berdiam. Jika ditilik wajahnya tampak sangat rona-rona kegelisahan muncul di wajah Jannah.
“Angah. Along rasa macam lain macam aje kau ni. Kau okay tak ni? Mengantuk ke? Meh kita tukar. Along bawa pula," Aisy menawarkan diri. Risau sungguh dilihatnya perangai pelik Jannah.
“Tak apa, Angah boleh lagi ni Long. Jangan risaulah. Kau rehat aje kat sebelah tu. Kata tadi pening, kan? Tidur, ya. Syhhhh..” Angah menepuk-nepuk peha Aisy, seperti sedang mendodoi bayi.
Aisy menepis tak puas hati. Tapi dia malas nak cakap banyak sebab kepala dia pun tengah sakit lagi ni. Kalau tak sebab kepala sakit memang nak aje dia tanya macam-macam pada Jannah.
Jannah kuatkan sedikit volume radio. Kalau sebelum ini volume dikuatkan untuk lawan kantuk, tapi kali ni bukan sebab mengantuk. Sebab dia nak tenangkan hati. Tak nak fikir masalah yang sedang dihadapinya saat ini.

Rasalah ketupat ini,
Dengan rendangnya sekali...

“Ishhh.. dah kenapa semua lagu ketupat aje ni?” bebel Jannah sendiri.
“Dah lagu raya. Mestilah ada ketupat,” Aisy di sebelah menyampuk.
“Ala... buatlah lagu lemang jagung ke, nasi impit ke, laksam ke... Asyik ketupat aje. Cliche laaa...”
“Tu la menu raya zaman berzaman. Along pun suka apa makan ketupat. Kalau tak ada ketupat, Along sanggup tak raya, tau.” Bersungguh Aisy membidas.
Glup. Jannah dah telan liur.
“Iyalah, sebut pasal ketupat... kau letak sarung ketupat tu kat mana? Lupa nak bagitahu jangan letak kat dalam boot. Kemek pula nanti kena hempap dengan beg-beg besar kau tu. Dahlah bawa beg macam nak raya sebulan.”
Tak fikir lama, Aisy jengah seat belakang. Seperti yang diduga, memang tak nampak bayang plastik kelongsong ketupat tu. “Angah, mana sarung ketupat tu eh? Kau letak kat dalam boot ke?”
Jannah berdiam diri. Tidak ada tanda-tanda hendak membalas. Khusyuk dia meneruskan pemanduan. Masa inilah dia rasa seperti pemandu yang cukup berhemah. Sesekali menyeka percikan peluh halus yang menitik di dahi. Panas pula dirasakan di dalam kereta ketika itu.
“Alaa... habislah sarung ketupat tu. Jenuh tau Along anyam sorang-sorang. Nak makan punya pasal. Kau bukan nak tolong pun,” rungut Aisy. Aisy tahu, Jannah bukanlah sepertinya. Jannah tak suka kerja remeh temeh macam tu. Jannah pernah cakap, buat apa nak buang masa menganyam bagai kalau boleh beli. Lagipun, nanti sarung tu terbuang juga. Bukan boleh makan sekali.
Itu Jannah. Tapi tidak pada Aisy. Aisy rasa satu kepuasan kalau dapat anyam dengan tangannya sendiri. Lagipun, dia memang minat kerja-kerja seni dan masak memasak. Buat apa buang duit beli kalau boleh berjimat dengan buat sendiri.
“Along, sampai macam tu sekali ye? Memang kau tak nak raya ke kalau tak dapat makan ketupat?”
“Angah, apa erti raya kalau tak ada ketupat? Cuba kau tengok lampu-lampu jalan tu. Hiasan dia apa? Lampu bentuk ketupat, kan? Ada kau nampak bentuk buluh lemang tergantung jadi hiasan tiang lampu? Lampu bentuk gulung-gulung macam lampu laksam ke, ada kau nampak? Tak ada, kan? Bentuk ketupat juga yang berjurai berkerlip. Tu tandanya betapa penting ketupat masa raya, tau.”
“Along... ada ke orang minta maaf sebelum raya?”
“Ishhh... soalan apa yang kau bagi ni, Angah? Kalau nak minta maaf tu, bila-bila aje, Angah oii. Rasa ada buat salah, buat dosa... minta maaf ajelah. Tak payah tunggu raya. Kut tak sempat ke, kan. Tak ke susah nanti. Kenapa? Kau ada buat salah kat Along ke? Beriya sangat ni kau bertanya,” sempat Aisy memerli. Pelik sebenarnya dia dengan perangai Jannah ni.
Jannah menelan liur. Terasa sedikit kesat. “Tu la, Long... Angah rasa macam ada buat salah kat Along.”
Aisy yang tadinya berbual sambil menutup mata melayan pening, terus duduk tegak. Dia dapat rasakan sesuatu daripada ayat yang ditutur Jannah sebentar tadi. "Jap. Tadi kau ada sebut tentang ketupat. Lepas tu kau sebut pula tentang minta maaf. Along rasa macam ada kena mengena aje ni. Ko buat salah apa, eh?”
“Angah minta maaf sangat-sangat dengan kau, Long. Angah tak sengaja...” Jannah mencebik. Terasa bersalah sangat.
“Along macam tau aje salah apa yang kau buat ni, Angah. Ni mesti kes kau letak sarung ketupat tu kat dalam boot, lepas tu dah terpenyek kena hempap dengan beg kau yang sebesar gajah tu, kan?”
“Kau maafkan tak, Long?”
“Kira tadi kau berhenti sebab nak betulkan sarung ketupat tulah, ya? Apa pasal kau tak bawa masuk dalam aje? Letak kat seat belakang ni mesti selamat. Tu, nanti kat depan sana ada hentian sebelah. Berhenti kejap. Alih masuk sarung ketupat tu kat dalam sini. Risau pula, Along. Nanti takut jadi balik daun kelapa sarung tu kalau dok biar kat boot tu.”
“Along. Angah tanya sekali lagi ni. Kau maafkan Angah tak?”
“Teruk sangat ke sarung tu kena penyek?”
“Tak...bukan...”
Tak sempat Jannah membalas, laju Aisy memintas. “Ala... kalau tak teruk, apa sangatlah dosa kau tu, Angah. Benda boleh settle. Along maafkan. Kicik punya hal, lor,” usiknya mengajuk seperti slanga Cina.
“Alhamdulillah. Lega Angah dengar. Kaulah Along yang paling baik dalam dunia.”
"Tak payah nak puji lebih-lebihlah. Benda boleh bawa bincang, buat apa nak gaduh-gaduh, kan?”
“Okay, kalau macam tu, nanti ingatkan Angah singgah supermarket ye. Nak beli nasi impit.”
“Buat apa nak beli nasi impit. Along anyam banyak kut sarung ketupat tu. Cukup kita sekeluarga makan.  Siap boleh jamu jiran-jiran kampung lagi. Tak payah bazir-bazir. Membazirkan amalan syaitan. Selamat Along sempat anyam.”
“Tapi sarung ketupat tu dah selamat dekat rumah, Long. So, kena cari juga nasi impit. Buat back up.”
Aisy terdiam. Otaknya mengesan sesuatu yang tidak enak. “Jap... selamat kat rumah? Rumah mana?”
“Rumah kitalah, Long...”
“Angaaah! Ini kau yang syaitonirajiiim!” terjerit Aisy mendengar pengakuan tu. Spontan.
“Apa pasal marah pulak? Tadi kata boleh bawa bincang. Tu yang angah cadang beli nasi impit.”Jannah sengih. Itu aje yang dia mampu buat saat itu. Tahu sangat Aisy pasti marah.
“Macam mana boleh tinggal?”
“Ni semua salah kaulah, Long. Elok-elok Angah ingat nak bawa masuk kereta, kau suruh tolong cari biskut Arab. Bila dah letak-letak macam tu memang tertinggal teruslah jawabnya.”
“Eh... nak salahkan Along pulak? Tak fikir yang orang selamatkan biskut tu daripada jembalang biskut Arab macam kau ni? Kalau tak disorok, memang licin kau ngap, kan? Nasib Along sempat sorokkan.”
“Iyalah... iyalah. Angah yang salah. Nanti kita singgah supermarket beli nasi impit, ya?”
“Sampai hati Angah, kan...” rajuk Aisy perlahan.
“Ermmm... janganlah buat Angah serba salah, Long. Nak Angah patah balik ke?” tanya Jannah. Mata dikerlip-kerlip minta simpati.
“Tak kelakar, okay. Jalan ajelah,” ujar Aisy geram.
Lagi satu jam saja mereka akan sampai ke destinasi. Takkan nak patah balik semata-mata nak ambil sarung ketupat. Kuala Lumpur – Melaka, bukannya dekat. Sabar sajalah Aisy dengan perangai Jannah ni. Bulan-bulan Ramadan ni memang betul-betul kena banyak istighfar apabila berdepan dengan Jannah.

(bersambung...)
*****


Hak Cipta Terpelihara

Tidak dibenarkan mana-mana bahagian daripada penulisan ini ditulis semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan kepada bentuk lain, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman, atau lain-lain tanpa kebenaran bertulis daripada penulis terlebih dahulu. Penulis berhak atas setiap tulisan dan karyanya.

Nak sambung lagi? Nanti kita sambung part seterusnya, ya. Jangan lupa bagi komen, boleh tambah semangat sikit aku nak sambung cerita raya ni.... check it out selalu, okay!

#terimakasihsudisinggah

Comments

  1. Bestnya orang kreatif. Pasal sarung ketupat pun boleh jadi cerita menarik. KSarie nak teka plot seterusnya samada. Nanti Fil dan Aisy berjumpa masa sama-sama mencari kelongsong ketupat. Diaorang berebut nak beli sebab kelongsong ketupat tuh tinggal set terakhir. Salah seorang akan beralah (ksarie suspect si Fil sebab dia gentleman). Masa Hakeem beraya kat rumah tunangnya iaitu Jannah, maka Fil terjumpa la Aisy sekali. Penutup cerita, si Fil dan Aisy akan menganyam ketupat bersama-sama dan happy ending gitu.

    Betul tak tekaan ksarie ni? Hehehehehheheehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yeaayyy! Hampir tepat... tapi ada yg sikit kurang tepat tu.. agak2 Fil gentleman ke..? Kalau gaduh2 manja pun nampak sweet gak kan.. Heheehe.. tak sempat nak buat sambungannya.. nanti bila sempat sy sambung ye.. hehehe..

      Delete
    2. Syawal telah berlalu ni. Mana sambungan cerita ketupat cinta ni hehehehehhehe

      Delete
    3. Hahahaha... kena tunggu versi raya haji la gamaknya ni.. 😅😅😅

      Delete

Post a comment

Popular posts from this blog

Kembang Semangkuk Petua Orang Lama

Resepi : Kerepek Pisang Rangup Sedap

Resepi : Karipap Kentang Sedap